Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, tajuk drama berkenaan sekiranya difahami secara zahir amat bertentangan dengan zahir nas al-Quran dan Sunnah, begitu juga dengan moraliti kehidupan manusia sama ada Islam mahupun bukan Islam.

“Tanpa menafikan kebebasan berkarya dalam budaya penggiat seni, kami merasakan bahawa tajuk berkenaan adalah kurang sesuai. Alasan kami jelas, isteri bukan untuk disewa.

“Isteri adalah akad yang sahih dan diperintahkan untuk bergaul dengan baik sebagaimana yang tertera dalam Surah al-Nisa’ ayat 19,” katanya menerusi catatan Qalam Mufti.

Zulkifli berkata, penamaan tajuk yang provokatif itu dikhuatiri akan menjadi trend dalam penggiat seni sekiranya tidak diberikan penerangan jelas daripada hukum syarak, mengenai implikasinya dalam masyarakat.

Menurut Zulkifli, dalam Islam, isteri tidak boleh dikontrakkan sama ada dalam tempoh jam, hari, minggu atau bulan.

Katanya, meminjam isteri bukanlah amalan dalam Islam, begitu juga menyewa isteri.

“Isteri adalah amanah Allah kepada suami untuk dimuliakan, dikasihi, disayangi dan diberi hak-haknya seperti termaktub dalam nas al-Quran, hadis dan pandangan fuqaha’.

“Kami yakin, tidak ada sekelumit niat dalam hati penulis novel dan pengarah tersebut untuk membuat sesuatu yang di luar kerangka Islam namun, sewaan isteri jelas sekali adalah sejuzuk daripada cabang mut’ah yang tidak dibenarkan dalam kalangan fuqaha’ Ahli Sunnah wal Jama’ah dan diharamkan dalam Islam,” ujarnya

Sementara itu, Zulkifli mengucapkan syabas dan tahniah kepada warga kerja drama Isteri Untuk Disewa di atas kejayaan menarik jutaan penonton bagi menonton drama ini.

“Kami menganggap pengarah mungkin terkhilaf dalam menentukan tajuk dan jalan cerita drama tersebut yang khabarnya diadaptasi daripada sebuah novel,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE