Sistem Pengundian Diceroboh, Keputusan Pemilihan PKR Cabang Julau Digantung

KUALA LUMPUR – Keputusan pemilihan PKR bagi Cabang Julau digantung berkuat kuasa serta-merta sehingga tablet yang digunakan untuk proses pengundian disahkan ‘bersih’ daripada serangan siber dan penyatuan data selesai diproses.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Rashid Din, ketika mengumumkan perkara berkenaan berkata pihaknya mengesan sistem e-undi di pusat pemilihan cabang dekat Sarikei, Sarawak menerusi penggunaan 10 unit tablet itu gagal berfungsi seperti biasa.

Katanya, kegagalan itu dipercayai berpunca daripada pencerobohan perisian Prey Anti-Theft, justeru laporan berhubung serangan terbabit dihantar bagi mendapatkan maklum balas pasukan keselamatan siber JPP di Petaling Jaya.

“Maklumat yang diterima mendapati perisian ini digunakan untuk memadam aplikasi e-undi dalam tablet, mencuri data, mengubah kata laluan dan mengawal peranti berkenaan menggunakan komputer dari jarak jauh.

“Unit sistem dan teknologi maklumat JPP mengambil beberapa langkah segera bagi mengatasi masalah ini dengan menukar mod undian kepada ‘offline’, mematikan ‘privilege device administrator’ (kawalan khas peranti oleh pangkalan utama) dan ‘membuang’ aplikasi Prey Anti-Theft daripada sistem pengurusan aplikasi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Julau sebelum ini menjadi perhatian seluruh negara selepas wujud kecurigaan berhubung jumlah keahlian PKR cabang itu yang meningkat secara mendadak daripada 603 kepada 13,000 ahli dalam tempoh sehari, pada 27 Jun lalu.

Masalah itu mencetuskan rasa curiga pemimpin PKR Sarawak yang kemudian membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana khuatir berlaku salah guna kuasa dalam parti berkenaan.

Susulan penemuan serangan siber itu, Rashid berkata, JPP kini menyiasat sama ada modus operandi sama digunakan di tempat lain yang turut mengadakan pemilihan parti pada hari ini.

“Siasatan awal mendapati aplikasi terbabit dimasukkan dalam tablet rasmi JPP yang diperuntukkan bagi cabang Julau pada hari ini sekitar jam 4 pagi,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.