Rafizi Atasi Azmin Dengan Beza 3 Undi Di Keningau

KOTA KINABALU: Calon timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli mendahului pencabarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan majoriti tipis 3 undi dalam pemilihan semula Cabang Keningau hari ini.

Keputusan tidak rasmi cabang itu menyaksikan Rafizi memperolehi 624 undi, manakala Azmin yang merupakan penyandang jawatan timbalan presiden mendapat 621 undi.

Keputusan itu diumumkan Ketua Pengawas Pusat Pemilihan PKR Bahagian Keningau, Suraya Muizzudin pada 6.15 petang tadi.

Seramai 2,735 daripada 6,441 ahli PKR Bahagian Keningau keluar menunaikan tanggungjawab mereka dalam proses pemilihan semula itu yang berjalan lancar.

Pemilihan semula cabang Keningau diadakan berikutan berlaku kekecohan sewaktu pemilihannya minggu lalu selepas Rafizi mendakwa beliau diserang seorang lelaki ketika berada di pusat pemilihan di Kampung Merampong.

Beliau kemudian membuat laporan polis mendakwa diserang.

Sementara itu dua lagi cabang PKR, iaitu Tawau dan Pensiangan akan menjalankan proses pengundian semula esok ekoran beberapa masalah yang menyebabkan ia terpaksa ditangguhkan.

Pemilihan semula terpaksa diadakan di Pensiangan berikutan proses pengundian yang dilaporkan berlarutan hingga melebihi tempoh ditetapkan menyebabkan timbul rasa tidak puas hati segelintir ahli PKR kawasan itu hingga ada yang membuat laporan polis.

Sementara itu, di Tawau juga timbul bantahan berhubung pemilihan cabang itu pada Sabtu lalu menyebabkan pihak JPP membuat keputusan untuk mengadakan pemilihan semula. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.