Pemilihan PKR Kecoh Kerana Pembesar Suara

KOTA SAMARAHAN: Penyokong Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengemukakan bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR berhubung penggunaan alat pembesar suara oleh penyokong Rafizi Ramli ketika berlangsungnya proses pengundian cabang Kota Samarahan di Institut Latihan Perindustrian (ILP), di sini pagi tadi.

Calon Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Datuk Mansor Othman, berkata penggunaan alat pembesar suara memang tidak dibenarkan untuk proses kempen dan merayu undi, malah ia sebahagian daripada syarat perlu dipatuhi semua penyokong calon bertanding.

“Penggunaan alat pembesar suara boleh menimbulkan provokasi yang tidak sihat dalam kalangan ahli,” katanya ketika ditemui NSTP di sini hari ini.

Tinjauan di pusat pengundian cabang Kota Samarahan mendapati proses pemilihan berjalan lancar walaupun terdapat sedikit kekecohan akibat penggunaan pembesar suara berkenaan.

Mansor ketika mengulas lanjut, berkata beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak jawatankuasa untuk menentukan sebarang tindakan susulan.

“Secara keseluruhannya berdasarkan pemerhatian proses pemilihan di Sarawak berjalan dengan lancar dan cukup baik.

“Hanya dilaporkan berlaku sedikit kekecohan, namun keadaannya masih terkawal,” katanya.

Lebih 1,000 ahli cabang Kota Samarahan mengundi hari ini. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.