MoF Setuju Syor KPM Teruskan Skim Baucer Buku

PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menyatakan Kementerian Kewangan telah bersetuju dengan syor kementeriannya untuk meneruskan skim bantuan baucar buku bagi mahasiswa.

Katanya, perkara berkenaan telah dibawa ke mesyuarat Kabinet semalam dan kementerian itu bersetuju untuk memperhalusinya bagi mengurangkan beban kewangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga melahirkan pandangan bahawa bantuan seumpama ini diteruskan. Saya mengucapkan terima kasih atas kesudian Kementerian Kewangan dan sokongan Perdana Menteri dalam mempertimbangkan perkara ini.

“Kami berharap akan ada berita menggembirakan dalam waktu terdekat. Seperti saya telah janjikan sebelum ini, saya akan memastikan kebajikan mahasiswa dijaga. Skim baucar buku salah satu perjuangan saya buat mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Inisiatif pemberian baucar buku berjumlah RM200 mula diperkenalkan menerusi Belanjawan 2012.

Sebanyak RM260 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif pemberian buku baucar yang memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta orang pelajar. – SINAR HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.