KLFA Bergolak, Menteri Wilayah Diminta Kawal KSU

Selepas Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), KLFA pula bakal bergolak berikutan pengumuman bahawa  Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan telah menang tanpa bertanding jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA)

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa mengisytiharkan Adnan menang tanpa bertanding bagi jawatan KLFA. Menurut Nokman, Adnan menerima 18 pencalonan manakala pencabar Adnan, Dato Rashid Haron hanya menerima 12 pencalonan.

Berikutan itu ada ahli gabungan menyatakan bahawa 12 pencalonan ini sudah melayakkan Rashid bertanding. Ini kerana Perlembagaan KLFA mensyaratkan setiap calon Presiden harus menerima  40 peratus pencalonan gabungan.

“Dengan jumlah 31 ahli gabungan, Rashid memerlukan 12.4 pencalonan. 12.4 pencalonan seharusnya dibundarkan kepada 12 pencalonan bukannya 13 pencalonan.”

Malah dakwaan lebih serius dari kumpulan ini ialah  gabungan KLFA yang mencalonkan Rashid Haron ialah 16 bukannya 12 seperti diumumkan.

Mereka mendakwa 16 ahli gabungan mencalonkan Rashid pada 4hb November 2018 iaitu tarikh akhir penghantaran borang pencalonan. Bagaimanapun pada 5hb November jumlah pencalonan telah bertukar kepada 12.

“Surat yang dihantar kepada semua ahli gabungan menyatakan pencalonan hendaklah dibuat sebelum 5hb November 2018. Ini bermakna tarikh tutup pencalonan ialah 4hb November bukannya 5hb.”

Sumber tersebut juga mempersoalkan  tindakan Setiusaha Agung KLFA menerima pencalonan Ahli Parlimen Setiawangasa, Nik Nazmi Nik Ahmad untuk jawatan Timbalan Presiden KLFA.

Nik Nazmi sebelum ini mengumumkan untuk bertanding Presiden KLFA sehinggalah beliau mencapai kompromi dengan Adnan dan menukar pendirian di saat-saat akhir.

“Nik Nazmi hanya mengumumkan hasratnya untuk bertanding Timbalan Presiden pada 4hb November. Bagaimanakah pada hari yang sama beliau mendapat 9 pencalonan dari gabungan. Saya difahamkan borang pencalonan telah diubah pada 5hb November. Ini bertentangan dengan surat makluman bahawa pencalonan mesti dibuat sebelum 5hb November.”

Beberapa ahli gabungan KLFA akan membawa perkara ini kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persuruhjaya Sukan Negara bersama salinan bukti pencalonan untuk Rashid.

Kumpulan ini juga berhasrat berjumpa Menteri Wilayah Persekutuan supaya menegur Ketua Setiausaha Kementerian agar tidak menggunakan taktik yang tidak baik dalam pemilihan KLFA kerana ia menjejaskan imej dan kredibiiti Kementerian sendiri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.