Gagal Tunai Janji, Wan Saiful Akhirnya Mohon Maaf Pada Rakyat, Peminjam PTPTN

KUALA LUMPUR – Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan hari ini memohon maaf ekoran kerajaan Pakatan Harapan (PH) gagal menunaikan janji untuk menangguhkan pembayaran pinjaman itu sehingga gaji peminjam mencecah RM4,000 sebagaimana yang diikrarkan dalam manifesto pada PRU lalu.

Wan Saiful berkata, pada ketika janji tersebut dibuat, beliau tidak mendapat input sebenar situasi kewangan negara.

“Hari ni saya mohon maaf kerana janji ini tidak dapat saya tunaikan. Ini kerana sayalah yang tulis janji itu dalam buku manifesto PH.

“Saya tulis janji-janji lain juga. Jadi saya bertanggungjawab dalam hal ini,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Wilayah Persekutuan ke-10, hari ini.

Menurut Wan Saiful, ramai yang menuntut untuk kerajaan melaksanakan janji tersebut namun setelah berbulan-bulan memikirkan cara pelaksanaan dengan pengurusan PTPTN, beliau akur janji itu tidak dapat ditunaikan.

“Saya tidak tahu bahawa hutang negara dan hutang PTPTN adalah sebegitu besar. Sehingga jika PTPTN gagal membayar hutang yang masih berbaki hampir RM40 bilion, maka hutang itu akan menjadi bebanan amat besar kepada negara secara keseluruhan.

“Saya mahu sebutkan di sini bahawa saya kagum dan mengiktiraf kesungguhan pegawai PTPTN.

“Kini dengan adanya kemahuan politik kuat yang mahu menyokong pihak pengurusan, saya yakin kita boleh menguruskan perubahan dengan cara lebih baik,” katanya:

Bagaimanapun Wan Saiful memberi jaminan bahawa prinsip asal iaitu tidak mahu membebankan anak muda yang berpendapatan rendah, masih tetap diutamakan.

Ujarnya juga, adalah lebih baik memohon maaf terhadap janji yang tidak mampu dilaksanakan daripada terus bersikap defensif terhadap janji yang tidak lagi praktikal.

“Mohon maaf itulah lambang bahawa kita masih ada sekelumit rasa rendah diri walaupun kita memegang jawatan dan tanggungjawab dengan kuasa agak besar,” katanya.

PH menerusi manifesto mereka sebelum ini berjanji untuk menangguhkan pembayaran semula pinjaman PTPTN sehingga pendapatan peminjam mencapai RM4,000 sebulan. -SuaraTv 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.