Wanita Terkejut Akaun Caruman KWSP Nama Lelaki

SEREMBAN – Seorang wanita yang membuat semakan akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) miliknya terkejut sebaik sahaja diberitahu akaunnya sama dengan seorang lelaki dari Kelantan.

Pada masa sama, penamanya juga turut diletakkan nama lelaki terbabit sedangkan mereka langsung tidak punya hubungan atau mengenalinya, lapor Sinar.

Menurut Yong Kin Leong, 57, yang merupakan Ketua Kampung Broga, isterinya Tan Swee Gek berusia, 55, mengetahui perkara itu Rabu lalu ketika berurusan di pejabat KWSP di Kajang, Selangor.

“Isteri saya diminta untuk membuka i-Akaun KWSP supaya mudah untuk akses secara dalam talian dan pada waktu itu pegawai yang bertugas memberitahu yang penama akaun isteri saya adalah seorang lelaki Melayu dari Kelantan.

“Perkara itu sangat mengejutkan kerana lebih kurang 10 tahun lalu isteri telah meletakkan saya dan seorang anak kami sebagai penama,” katanya.

Bimbang sekiranya akan berlaku masalah akan datang, dia dan isteri membuat keputusan untuk mengeluarkan kesemua wang carumannya dan menutup akaun tersebut, namun gagal disebabkan nombor akaun KWSP isterinya sama dengan lelaki itu.

Buntu dengan keadaan itu, dia kemudian meminta bantuan MCA Negeri Sembilan yang memanjangkan masalah itu kepada Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong.

“Siasatan yang dilakukan oleh Pegawai Khas, Chee Leong mendapati, masalah itu berlaku berkemungkinan disebabkan kecuaian memasukan data oleh pihak KWSP.

“Bagi saya ia tak sepatutnya berlaku kerana telah menyusahkan isteri saya sebagai pencarum. Kami bernasib baik kerana dapat tahu perkara ini dan harap ia dapat diselesaikan segera,” katanya pada sidang media di pejabat Wisma MCA Negeri Sembilan, semalam.

Sementara itu Setiausaha Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Sembilan, Siow Koi Voon kesal kecuaian itu telah menyusahkan orang lain yang terpaksa berulang-alik ke pejabat KWSP untuk berurusan.

Oleh itu beliau menyeru orang ramai yang sudah lama tidak membuat semakan akaun KWSP supaya berbuat demikian sebagai langkah keselamatan.

“KWSP harus ambil inisiatif hantar surat pengesahan kepada pemegang akaun dan elakkan masalah sebegini berlaku lagi,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.