Vingada Yakin Harimau Malaya Mampu Menang

Pengendali skuad Harimau Malaya, Nelo Vingada berkeyakinan tinggi anak buahnya mampu menamatkan kemarau kemenangan apabila mereka bertemu Korea Utara pada aksi kelayakan Piala Asia saingan Kumpulan B di Stadium I-Mobile Buriram, hari ini.

Untuk rekod, Malaysia gagal meraih sebarang kemenangan dalam lapan perlawanan di peringkat antarabangsa termasuk lima aksi di bawah Vingada, lapor Sinar.

Kali terakhir skuad negara merakam kemenangan adalah pada kempen Piala AFF November tahun lalu, apabila menewaskan Kemboja 3-2.

Dan ketika ini, Malaysia menghuni tangga tercorot kumpulan dan amat memerlukan kemenangan untuk kembali meletakkan mereka di landasan tepat untuk muncul antara pasukan yang layak ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Pada masa sama, Vingada dengan nada tegas memberi jaminan motivasi pemainnya tidak terjejas selepas kehilangan kapten, Safiq Rahim yang menjalani hukuman penggantungan.

“Walaupun ini perlawanan keempat kami dalam kumpulan, tapi saya percaya kami masih ada peluang untuk merebut tempat kedua di belakang Lubnan.

“Pemain-pemain saya sudah bersedia…saya sudah sedaya upaya menjalankan tanggungjawab dan kini terpulang kepada mereka untuk meraih tiga mata.

“Apa yang penting, pemain perlu ikut segala arahan dan tidak terburu-buru,” katanya.

Dalam pada itu, Vingada enggan mendedahkan siapa bakal menggantikan Safiq dalam perlawanan tersebut.

“Saya tak mahu dedah. Saya ada tiga calon,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.