Speaker DUN Perlekeh Kuasa Sultan Selangor?

KUALA LUMPUR – Tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Se­langor, Hannah Yeoh daripada DAP menolak usul memperkasakan dan memperkukuhkan institusi mahkamah syariah di negeri itu untuk dibahaskan dalam sidang DUN baru-baru ini, dilihat memperlekehkan kuasa Sultan Selangor.

Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, tindakan menolak usul berkenaan yang melibatkan aspek memperkasa struktur dan bidang kuasa perundangan serta tenaga manusia juga dianggap menafikan hak orang Islam di Se­langor yang ingin melihat institusi mahkamah syariah diperkasakan, lapor Utusan.

Justeru, tegasnya, penolakan usul berkaitan untuk dibahaskan tidak sepatutnya berlaku.

“DUN sepatutnya memberi ruang kepada wakil-wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat untuk bercakap dan mempertahankan atau memperkasakan hak mereka terutama hak orang Islam yang merupakan sebahagian penduduk atau pengundi di negeri itu,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.

Menurut Musa, mahkamah syariah di negeri itu adalah di bawah kuasa Sultan Selangor sebagaimana dalam peruntukan Seksyen 55 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003 (Enakmen No. 1 Tahun 2003) yang memperuntukkan bahawa:

1-Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, boleh melalui pemberitahuan dalam Warta menu­buhkan Mahkamah-Mahkamah Rendah Syariah bagi Negeri Sela­ngor di tempat-tempat yang difikirkan patut.

2-Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis, boleh melalui pemberitahuan dalam Warta me­nubuhkan suatu Mahkamah Tinggi Syariah bagi Negeri Selangor.

3-Duli Yang Maha Mulia Sultan, atas nasihat Majlis boleh melalui pemberitahuan dalam Warta me­nubuhkan suatu Mahkamah Ra­yuan Syariah bagi Negeri Selangor.

Justeru katanya, kuasa penubuhan adalah termasuk kuasa memperkasakan mahkamah syariah yang di bawah kuasa Sultan Selangor.

Usul memperkasa dan memperkukuhkan institusi mahkamah syariah dibawa oleh Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dalam sidang DUN Selangor pada 6 November lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.