Saya Tidak Perlu Minta Maaf Kata Mahathir

PUTRAJAYA –  Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi bertegas tidak akan membuat sebarang permohonan maaf secara terbuka ekoran kenyataannya yang dianggap menghina masyarakat Bugis.

Ketegasan itu sekali lagi dinyatakan walaupun Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mendesak beliau memohon maaf atas kata-kata penghinaan terhadap suku Bugis dalam satu ceramah politik pada 14 Oktober lalu.

“Saya tidak kata apa pun kepada Jusuf Kalla atau semua orang Bugis. Saya kata pasal Bugis, Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) sahaja.

“Jadi saya tidak kata apa pun kepada Jusuf Kalla,” katanya selepas menjadi panel pada forum Sifat Kepimpinan Dalam Masa Depan Digital, semalam.

Sebelum ini, sebuah portal berita Indonesia melaporkan, Jusuf terkejut apabila ceramah Mahathir diselitkan dengan kenyataan menghina mengaitkan Najib sebagai lanun kerana berasal daripada suku Bugis.

Kata Jusuf, Mahathir harus minta maaf dan menarik balik kenyataan tersebut kerana ia melukakan hati orang Bugis di seluruh Indonesia termasuk yang berada di Malaysia.

Selain mencetuskan kemarahan di Indonesia, kata-kata Mahathir juga telah mendapat bantahan daripada Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia (PPRBMM) di Yayasan Kepemimpinan Perdana, 18 Oktober lalu.

Pada masa sama, Mahathir bersedia memberi kerjasama kepada pihak polis sekiranya dipanggil untuk memberi keterangan mengenai isu berkenaan.

“Itu dia (polis) punya kerjalah. Dia memang kena buka kertas siasatan. Kalau dipanggil (beri keterangan) saya kena pergilah,” katanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Fadzil Ahmat sebelum ini mengesahkan dua kertas siasatan telah dibuka terhadap Mahathir selepas pengerusi Pakatan Harapan itu didakwa menghina komuniti Bugis dalam dua ucapan yang dibuatnya di Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.