Ramai Yang Guna Teknologi Sebar Fitnah dan Berita Palsu – Khutbah Jumaat

Khutbah Jumaat hari ini mengingatkan orang ramai untuk sentiasa menjaga lidah termasuk penulisan diatas talian seperti Facebook, Whatsapp, Instagram, Twitter, dan WeChat.

Kata khatib, penggunaan media baru merupakan kaedah perhubungan baharu masyarakat terjalin selain daripada pertemuan dan perbualan seharian.

“Namun, jika dilihat pada realitinya hari ini, ramai yang gagal mengawal lidah tatkala berbicara. Masyarakat kini bebas menuturkan apa sahaja mengikut pertimbangan akal sendiri dan diburukkan lagi dengan dorongan nafsu serta bisikan syaitan.

“Bahkan dengan kemudahan teknologi terkini, ramai yang semakin berani menularkan berita palsu, cerita fitnah dan mendedahkan aib orang lain, sedangkan Allah s.w.t memberi peringatan yang jelas sepertimana firman-Nya dalam surah Al-Ahzab ayat 50-51 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar (dalam segala perkara), supaya Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan rasul-Nya, maka sesungguhnya dia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan”.

Khatib kemudiannya menggariskan empat jenis ‘lidah’ yang membawa kepada kemudaratan dalam kehidupan manusia.

Pertama adalah dari lidah membawa fitnah yang akan berakhir kepada pertengkaran mengakibatkan runtuhnya perkahwinan, keretakan kekeluargaan, permusuhan sesama jiran seterusnya mengancam keharmonian kemasyarakatan.

Kedua adalah lidah menyembunyikan kebenaran dengan mengeluarkan kata-kata dusta yang jelas dilarang oleh Allah sepertimana disebut dalam surah An Nahl, ayat 116-117.

“Dan janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu “ini halal dan ini haram”, untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah, sesungguhnya orang-orang yang berdusta terhadap Allah tidak berjaya.

“(Mereka hanya mendapat) sedikit kesenangan (didunia) dan mereka pula akan beroleh azab siksa yang tidak terperi siksanya”.

Ketiga daripada lidah yang mengeluarkan kata-kata penghinaan yang menjatuhkan maruah orang lain dinasihati untuk berfikir dahulu akibatnya, sepertimana diriwayatkan oleh Imam Shafie.

“Jika seseorang itu hendak berbicara maka hendaklah dia berfikir terlebih dahulu. Jika dia merasa bahawa ucapan tersebut tidak merugikan, maka ucapkanlah. Jika dia merasa ucapa tersebut ada mudaratnya atau dia ragu-ragu, maka hendaklah ditahan (jangan diucapkan).

Dan keempat adalah lidah yang menyampaikan kebenaran menerusi penghinaan atau sindiran.

“Lidah yang menyampaikan kebenaran, namun kebenaran itu disampaikan melalui penghinaan ataupun sindiran menggunakan perkataan yang menyakiti hati. Akhirnya ia menjadi sia-sia dan tidak mencapai matlamat kerana disampaikan tanpa adab menurut Islam,” kata khatib lagi. – mD

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.