Pulau Pisang Dikawal Ketat Demi Keselamatan Negara

Kerajaan sentiasa memberi perhatian rapi terhadap isu pengurusan rumah api di Pulau Pisang, dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan wajar seandainya wujud sebarang elemen yang boleh menjadi ancaman kepada kedaulatan negara.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata langkah kawalan terhadap pulau yang terletak di perairan Pontian, Johor, itu dilaksanakan bagi memastikan aktiviti masuk dan keluar di pulau itu dipantau dengan ketat selaras dengan kedaulatan Malaysia ke atas pulau itu.

“Pulau Pisang merupakan hak mutlak Kerajaan Negeri Johor. Kerajaan British diberi kebenaran hanya untuk membina, mengendali dan menyelenggara rumah api di Pulau Pisang berdasarkan perjanjian bertulis atau ‘indenture’ yang telah ditandatangani oleh Almarhum Sultan Ibrahim dan Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir James Alexander Swettenham pada 6 Oktober 1900. Peranan ini diteruskan oleh kerajaan Singapura sehingga kini.

“Kakitangan kerajaan dan rakyat Singapura yang mengendali dan menyelenggara rumah api tersebut perlu mematuhi peraturan dan syarat kemasukan yang ditetapkan kerajaan termasuk mendaftar dengan Jabatan Imigresen di Kukup, Johor setiap kali pertukaran syif dan direkodkan. Proses yg sama juga digunakan setiap kali mereka meninggalkan rumah api di Pulau Pisang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2018 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat semalam.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata terdapat beberapa ‘kemungkinan’ yang menyumbang kepada kegagalan Malaysia melobi bagi menduduki kerusi di Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) untuk penggal 2018-2020 berbanding empat Kumpulan Asia Pasifik ( APG).

Antaranya pengumuman pencalonan Malaysia bagi UNHRC bagi penggal berkenaan yang agak lewat berbanding negara-negara lain dan peluang menjadi lebih tipis apabila terdapat dua negara menarik balik komitmen mereka untuk menyokong pencalonan Malaysia, menyebabkan Malaysia tidak terpilih dengan kekurangan hanya dua undi.

“Walaupun Malaysia tidak dipilih, ia bukan kayu ukur kepada peranan dan imej negara dalam memperjuangkan hak asasi manusia di UNHRC. Selain itu, Malaysia masih boleh memainkan peranan penting selaku wakil APG dalam Kumpulan Perundingan bagi penggal April 2017–Mac 2018.

Malaysia masih boleh menyumbang secara membina, menyuarakan pendapat dan menyampaikan pendiriannya dalam isu-isu hak asasi manusia yang berkaitan dengan kepentingan negara melalui penglibatan Malaysia dalam perundingan tidak rasmi, dalam perundingan draf resolusi dan juga sesi mesyuarat Majlis Hak Asasi Manusia PBB,” katanya.- Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.