Lebih Lima Tahun Tak Basuh Baju Selepas Ditinggalkan Isteri Dan Anak

KLUANG – Bukan seminggu atau sebulan sebaliknya lebih lima tahun pakaian lusuh tidak pernah dibersihkan dan dibiarkan berselerak manakala sampah-sarap bertaburan.

Ia malahan memenuhi setiap inci ruang tamu rumah seorang lelaki di Taman Seri Jaya, di sini.

Malah, lelaki dikenali sebagai A Raju, 49, yang hidup sebatang kara itu dikatakan mengalami kemurungan dan mempunyai masalah kesihatan selepas ditinggalkan isteri dan dua anak lelakinya lima tahun lalu.

Dia tidak lagi menghiraukan kehidupannya dan hanya berharap bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM300 sebulan untuk menyara hidupnya.

Seperti dilaporkan Harian Metro, Raju berkata, sejak lima tahun lalu, dia tidak pernah memasak apa jua makanan di rumahnya selain pakaian digunakan tidak dibasuh dan dibiarkan berselerak kerana biasanya ia dibersihkan isterinya.

“Saya tidak tahu hendak buat macam mana dengan pakaian berkenaan sebab itu saya biarkan saja, makan tengah hari dan malam pula saya dapatkan dari kedai berhampiran selain ihsan orang ramai yang bersimpati.

“Saya tidak larat untuk mengemas rumah sebab saya juga menghidap sakit sendi menyebabkan keadaan rumah terbiar,” katanya ketika dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyananthan, semalam.

Raju berkata, dia berbesar hati sekiranya ada pihak membantunya membersihkan rumah kerana penyakit dialaminya membataskan pergerakannya untuk mengemas sendiri.

Sementara itu, Vidyananthan berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib lelaki berkenaan dan melakukan tindakan susulan dalam masa terdekat terutama membersihkan pakaian serta membuang semua sampah sarap di dalam rumah terbabit.

“Ketua MIC Bahagian Kluang, G Raman dipertanggungjawabkan untuk menggerakkan kerja sukarelawan dan melaksanakan tugas pembersihan itu supaya lelaki berkenaan boleh hidup selesa.

“Selain itu, lelaki ini perlu dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut berkaitan penyakitnya supaya dia boleh menjalankan tugas ringan seperti menjaga kebersihan rumah serta melakukan kerja untuk sara hidup seharian,” katanya. –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.