Fizo Enggan Buka Akaun Instagram Untuk Anak

BAKAL menimang cahaya mata sulung sekitar Disember ini, pelakon Fizo Omar mengakui berasa teruja dan tidak sabar menggalas tanggungjawab sebagai bapa.

Meskipun mengambil keputusan untuk memperlahankan aktiviti seni sejak dua tahun lalu, Fizo tetap berusaha meluangkan masa untuk hadir ke acara hiburan bagi mengeratkan hubungan sesama artis.

Hadir pada acara Anugerah Skrin 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) baru-baru ini, pelakon berusia 32 tahun itu sempat berkongsi keadaan isterinya, Mawar Abd. Karim yang kini hamil lapan bulan.

Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar turut meluahkan rasa syukur kerana penantian bersama isteri selama empat tahun sejak mendirikan rumah tangga pada 2013 akhirnya berhasil.

Pelakon filem Isyarat Cinta itu memberitahu, dia tidak merancang untuk mengadakan majlis baby shower sebagaimana sering dilakukan golongan artis yang menantikan kelahiran anak.

Katanya, bagi meraikan kehadiran cahaya mata perempuan pertamanya itu, dia lebih selesa memilih untuk mengadakan majlis doa selamat secara kecil-kecilan selain dihadiri oleh ahli keluarga terdekat termasuk mengundang pelajar tahfiz.

KOSMO!: Tahniah kerana Fizo Omar kerana bakal menjadi bapa tidak lama lagi. Boleh kongsikan persiapan yang dilakukan bagi menyambut kelahiran cahaya mata pertama ini?

FIZO OMAR: Alhamdulillah, terima kasih. Syukur kerana penantian selama empat tahun kami akhirnya dikurniakan rezeki pada tahun ini. Insya-Allah pada bulan Disember ini, isteri saya akan melahirkan bayi perempuan.

Segala persiapan dilakukan secara sederhana dan tidak berlebihan. Biarpun cahaya mata pertama, saya tetap mengutamakan perkara yang menjadi keperluan bayi terlebih dahulu.

Bagaimanakah perasaan anda apabila mengetahui bakal menimang cahaya mata perempuan?

Sekiranya bercakap soal jantina saya tidak mempunyai sebarang masalah kerana ia merupakan rezeki Tuhan.

Paling utama ialah kesihatan ibu dan anak. Saya mengharapkan agar bayi yang bakal lahir kelak sihat dan cukup sifat itu sudah cukup memadai. Harap kalian doakan yang terbaik buat kami sekeluarga.

Bercerita mengenai persiapan bayi, adakah anda dan isteri akan mengadakan majlis baby shower seperti kebanyakan selebriti lain?

Setiap individu mempunyai pandangan berbeza. Pada saya, sempena meraikan kehadiran cahaya mata pertama ini kami sepakat untuk mengadakan majlis kesyukuran dengan menjemput pelajar tahfiz dan ahli keluarga terdekat.

Menggambarkan suatu permulaan yang baharu buat bayi kelak, saya selesa majlis dilakukan secara sederhana. Selain itu, kami juga perlu membuat persiapan daripada segi mental dan penerimaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ibu bapa.

Bolehkah anda kongsikan pengalaman sepanjang tempoh awal kehamilan isteri?

Ia suatu pengalaman luar biasa yang sentiasa membuatkan saya berasa teruja. Syukur isteri tidak mempunyai sebarang alahan mahupun mengidam sesuatu yang luar biasa.

Segalanya berjalan lancar, kesihatan isteri dan bayi juga tidak mempunyai sebarang masalah. Saya berasa gembira dan bersyukur dengan rezeki ini serta berterima kasih kepada isteri.

Disebabkan isteri tidak mengalami banyak masalah sewaktu awal kehamilan, kadangkala saya terlupa yang dia kini sedang berbadan dua.

Kebanyakan selebriti tempatan masa kini gemar membuka akaun media sosial, Instagram buat anak masing-masing. Adakah anda juga akan melakukan perkara sama?

Sukar untuk saya beri pandangan mengenai hal tersebut kerana segalanya bergantung pada sudut pandangan masing-masing.

Secara peribadi, buat masa sekarang saya belum terfikir untuk berbuat demikian. Sekiranya ia berlaku pada masa akan datang, segala gambar yang dimuat naik hanya bertujuan untuk menyimpan kenangan indah bersama anak dan keluarga.

Tiada sebarang tujuan untuk mengkomersialkan bayi pada peringkat awal kerana saya ingin menumpukan perhatian terhadap perkembangan tumbesarannya kelak.

Beralih terhadap bidang kerjaya, bagaimanakah aktiviti seni anda sekarang?

Tidak dinafikan sejak dua tahun lalu saya banyak fokus terhadap pengurusan perniagaan dan menjadi penceramah untuk seminar perniagaan. Sejak isteri hamil rezeki kami semakin bertambah.

Saya memang memperlahankan aktiviti seni tetapi itu bukan bermaksud melupakan terus. Buat masa ini saya masih berusaha untuk mengukuhkan kedudukan dalam bidang perniagaan.

Sekiranya tiba masa yang sesuai, insya-Allah saya akan kembali berlakon. Saya hadir ke acara hiburan seperti Anugerah Skrin bertujuan bagi mengeratkan hubungan sesama artis dan mengikuti perkembangan dunia hiburan.kosmo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.