Tiga ADUN PKR Bertikam Lidah Isu Pencemaran Air Di Selangor

SHAH ALAM – Tiga ADUN PKR bertikam lidah sesama sendiri bersabit isu pencemaran air melibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih dan Sungai Langat.

 

Ketiga-tiga mereka adalah Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna yang juga ADUN Bukit Lanjan Elizabeth Wong, ADUN Kota Anggerik Yaakob Sapari dan ADUN Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar.

 

Episod pertikaman lidah berkenaan bermula apabila Elizabeth beremosi setelah mendapat soalan tambahan ADUN Kota Anggerik mengenai isu pencemaran air ketika sesi soal jawab di dalam Dewan hari ini.

 

Situasi itu berlanjutan selama 15 minit apabila Elizabeth mempersoalkan soalan tambahan Yaakob yang bertanya jenis-jenis industri di sepanjang Sungai Semenyih yang berpotensi untuk mencemarkan air sungai berkenaan.

 

“Masalah pencemaran di Sungai Semenyih ini bukan berlaku pada tahun ini sahaja. Sejak 2008 tiap-tiap tahun berlaku (pencemaran air) jadi saya nampak tidak ada tindakan yang sebegitu mantap yang dibuat oleh kerajaan negeri untuk memastikan tidak berulang lagi, apakah jaminan kerajaan yang ia tidak akan berulang lagi,” tanya Yaakob kepada Elizabeth.

 

Menjawab pertanyaan rakan seperjuangan beliau, Elizabeth bingkas marah kerana Yaakob tidak hadir ketika sesi penggulungan mengenai isu pencemaran yang dibuat beliau Isnin lalu.

 

“Kota Anggerik sepatutnya berada dalam Dewan bila saya menggulung semalam. Mana Kota Anggerik? Tidak dengar pun apa yang kita telah buat, kita telah pasang aluminium silikat tambahan, kita sudah pasang, kita sudah tambah bernilai RM12 juta. Hadir dalam Dewan kalau hendak dengar jawapan. Kalau tidak jangan hantar soalan,” marah Elizabeth.

 

“Soalan saya apakah langkah supaya tidak berulang lagi?” celah Yaakob.

 

Berikutan itu, ADUN Andalas Xavier Jayakumar bingkas bangun menyoal mengapa Exco marah dalam proses untuk menjawab soalan yang diajukan Yaakob Sapari.

 

“Saya ingat Exco pun jangan marahlah. Orang (ADUN) nak tanya soalan, jawab dengan baik-baik,” kata Naib Presiden PKR itu.

 

“Kita telah jawab. Kerajaan negeri telah jawab. Ini bukan sikap. Bila nak bawa isu nak masuk dalam pembahasan hadir untuk dengar penggulungan untuk dengar jawapan , saya jawab selama 45 minit. Kita jawab semua.

 

“Bukan tekanan. Kerajaan jawab ambil nota beri sedikit perhatian kita sediakan semua jawapan dalan sesi soal jawab semasa sesi penggulungan, semua pegawai di sini tunggu dan beri jawapan yang tepat. Jawapan telah diberi sejak hari kedua,” jawab Elizabeth mengakhiri jawapan beliau.

 

Isu pencemaran air di Selangor hangat apabila 16 kes pencemaran berlaku pada awal tahun ini sehingga Oktober lalu.

 

Untuk rekod, Loji Pembersihan Air (LPA) Sungai Semenyih terpaksa ditutup sebanyak lapan kali iaitu pada 22 hingga 24 September juga 3, 23 dan 28 Oktober ekoran pencemaran berkenaan.

 

Malah pencemaran itu turut menjejaskan operasi LRA Langat dan Cheras Batu 11 pada 7 dan 8 Oktober lalu.

 

Penutupan itu mengakibatkan lebih sejuta pengguna terjejas. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.