Mufti P.Pinang Mahu Vape Diharamkan

GEORGETOWN – Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menggesa kerajaan akur dengan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan yang mengharamkan rokok elektronik atau vape.

 

Tegasnya, ia berikutan penggunaan vape itu diputuskan sebagai haram melalui mesyuarat yang diadakan pada Ogos lalu.

 

“Keputusan itu dibuat mengikut hukum syarak dan ia juga berdasarkan kepada kaedah-kaedah fiqh yang tertentu. Antara kaedah termasuk mendahulukan kepentingan umum daripada kepentingan individu atau segelintir manusia dan mengelak kemudaratan diutamakan di atas memperoleh kepentingan.

 

“Saya juga memohon jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengkaji dan menangani isu ini supaya melihat ia dari pelbagai sudut yang berkaitan,” katanya.

 

Menurutnya, ia termasuk dari sudut ancaman penggunaan vape terhadap kesihatan masyarakat seperti kesan buruk kepada wanita hamil dan kemungkinan berlaku kelahiran bayi pramatang atau kecacatan bayi.

 

“Kerajaan Malaysia patut mengikut jejak langkah beberapa negara tertentu yang mengharamkan penggunaan vape seperti Singapura, Brunei, Hong Kong dan Britain,” katanya.

 

Wan Salim berkata, tidak menjadi kepentingan buat kerajaan untuk mengikut kehendak peniaga yang terlibat.

 

“Jika terbukti vape mengandungi bahan-bahan yang membahayakan kesihatan, maka kerajaan tidak harus teragak-agak untuk mengharamkannya.

 

“Ia adalah demi kesihatan rakyat, walaupun ditentang atau dirayu, tidak sewajarnya mereka yang ingin mengaut keuntungan ini diberi kelebihan,” katanya.-Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.