Wujud Sindiket Penipuan Pekerja Asing Di Cameron Highlands

Kuala Lumpur – Siasatan awal Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenai punca kebanjiran ribuan pekerja asing di Cameron Highlands mendapati wujudnya penipuan sindiket pekerja tersebut yang berleluasa sejak kebelakangan ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata lantaran itu, agensi di bawah kementerian dikerah menjejaki ejen sindiket tersebut yang dipercayai menawarkan pelbagai pekerjaan bagi menipu pekerja asing.

“Sekarang pasukan kita sedang mencari ejen ini kerana kita tidak mahu pemerdagangan manusia (terhadap pekerja asing) ini berlaku.

“Ejen seperti ini bukan saja menipu pekerja, malah mengambil keuntungan yang banyak,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Beliau juga meminta Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia meneruskan pemantauan setiap masa bukan saja di kawasan berkenaan malah di beberapa lokasi lain yang menjadi tempat pertemuan dan pengumpulan pekerja asing yang tamat tempoh (permit kerja).

Zahid berkata jika ejen berkenaan didapati terbabit membawa pekerja ini secara haram, tindakan segera perlu dilakukan, termasuk pendakwaan di mahkamah.

“Saya juga tidak akan berkompromi jika ada unsur dalaman (agensi penguatkuasaan) bekerjasama dengan ejen berkenaan, lebih-lebih lagi jika ada dokumen yang dikeluarkan untuk pekerja tanpa izin ini.

“Kepentingan negara perlu diutamakan terutamanya apabila sesuatu kawasan itu tidak mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri ataupun Pejabat Tanah Daerah (untuk aktiviti perladangan),” katanya.

Zahid juga menyeru mana-mana agensi termasuk anggota penguatkuasaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai ejen dan sindiket ini supaya tampil memberikan bukti dan membantu menumpaskan sindiket tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.