Wanita UMNO Mahu Kerajaan Tagguh Mansuh Akta Hasutan

Kuala Lumpur – Wanita Umno hari ini meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menangguhkan sementara pelaksanaan pemansuhan Akta Hasutan sebelum rundingan lanjut dilakukan.

Ketua Wanita Umno Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil berkata Putrajaya, sebelum melaksanakan sebarang keputusan mengenai akta tersebut, perlu mendengar suara wanita, bukan sahaja Umno, namun akar umbi yang mahukan Akta Hasutan dikekalkan bagi menjamin keselamatan dan keamanan negara.

“Kerajaan perlu berunding dengan wanita di negara ini bukan hanya wanita Umno tetapi ia mewakili wanita akar umbi. Kita minta akan adanya rundingan lebih dibuat,” katanya pada sidang media di Hotel Seri Pacific di Kuala Lumpur.

Beliau yang juga bekas menteri pembangunan wanita kebajikan dan keluarga berkata cadangan penangguhan sementara itu akan disampaikan dalam bentuk memorandum.
Memorandum tersebut katanya akan dihantar oleh Wanita Umno kepada perdana menteri tidak lama lagi.

Terdahulu Sharizat hadir merasmikan Program Pemahaman A‎kta Hasutan dimana panel bagi forum tersebut ialah bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, peguam Datuk Salehuddin Saidin dan Mohd Khairul Azam Abdul Aziz manakala moderator Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwar Rahmat.

Bagaimanapun ia merupakan forum ‎tertutup dan media tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan tersebut.

Pada masa sama, sayap Wanita bakal melancarkan program mengutip sejuta tandatangan sebagai bukti kepada Najib golongan itu menolak pemansuhan Akta Hasutan.

‎”Suara Wanita tidak harus diketepikan dan perlu didengar sebelum adanya keputusan muktamad dibuat mengenai isu Akta Hasutan ini,” katanya.

Pertama kali Najib mengumumkan pemansuhan akta tersebut ialah pada 11 Julai 2012 Najib dan bakal diganti dengan Akta Keharmonian Nasional sebagai sebahagian daripada program transformasi kerajaan.

Akta Hasutan 1948 sebelum ini dipinda sebanyak lima kali dan pindaan terakhirnya pada 1975.

Gesaan Najib memansuhkan Akta Hasutan dituntut pemimpin Pakatan Rakyat apabila kebelakangan ini berlakunya pendakwaan besar-besaran bukan sahaja terhadap wakil rakyat parti tersebut malah aktivis sosial, pelajar, pensyarah juga wartawan.

Bagaimanapun hasrat Najib memansuhkan akta itu mendapat tentangan daripada pemimpin dalam Umno sendiri.

Shahrizat juga pada masa sama menyelar tindakan Putrajaya yang memberikan memberikan kuasa kepada beberapa badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk merangka undang-undang menggantikan Akta Hasutan.

Beliau mendakwa kerajaan ‎ terlalu takut suara sesetengah pihak (NGO) yang lantang mahukan Akta Hasutan dimansuhkan.

“Kita tidak boleh biar beberapa personaliti atau NGO sahaja yang mempunyai agenda politik memberi pandangan dan pendapat mereka.

“Dan kita sebagai kerajaan juga tidak boleh terlalu takut dan mendengar cakap-cakap mereka. Paling mustahak adalah keselamatan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Majlis Konsultatif Perpaduan Nasional (MKPN) yang dilantik Putrajaya bagi menyediakan draf dan peruntukan Akta Keharmonian Nasional.

MKPN ditubuhkan selepas Pilihan Raya Umum ke-13, apabila keharmonian kaum dan agama diuji beberapa kali, menjejaskan negara yang mempunyai penduduk berbilang kaum ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.