Pelajar Tingkatan 4 Rotan Junior Ditahan Polis

Balik Pulau – Seorang pelajar lelaki tingkatan empat, sebuah sekolah menengah agama ditahan polis semalam kerana merotan juniornya pada Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Lai Fah Hin berkata, siasatan awal mendapati pelajar itu merupakan ketua ahli jawatankuasa surau telah merotan pelajar tingkatan dua itu kerana lewat menghadiri aktiviti kerohanian di asrama sekolah berkenaan kira-kira pukul 7.30 malam.

“Bapa kepada pelajar tingkatan dua itu membuat laporan polis pada hari Jumaat kerana bimbang anaknya menjadi mangsa buli.

“Pelajar tingkatan empat itu ditahan pada jam 12.30 tengahari semalam di asrama sekolah berkenaan manakala rotan yang digunakannya turut dirampas,” katanya.

Menurutnya, pelajar terbabit bertindak secara bersendirian dan pelajar tingkatan dua itu hanya mengalami lebam di bahagian lutut akibat dipukul beberapa kali dengan rotan.

“Pelajar itu telah mengaku kesalahannya serta telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.