Pelajar 12 Tahun Dirogol Rakan Baharu Dikenali Melalui WeChat

Manjung – Tindakan berani seorang kanak-kanak berusia 12 tahun berjumpa kenalan yang baharu dikenali menerusi aplikasi sosial WeChat membawa padah apabila dia dirogol lelaki berkenaan di Pantai Remis, dekat sini, Khamis lalu.

Pelajar tahun enam yang baru mengenali suspek berumur 27 tahun tak sampai 24 jam telah menjemput lelaki itu bertemu dengannya di kampung mangsa di Beruas kira-kira jam 12 tengah malam.

Tindakan berani itu menyebabkan mangsa dirogol kenalan baharunya dalam sebuah kereta di tepi pantai.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Tengku Mohd Zailan Tengku Mohd Shah berkata, mangsa dikatakan telah keluar bersama rakan baharunya itu dengan menaiki kereta jenis Proton Wira milik suspek, kononnya untuk bersiar-siar.

Bagaimanapun, menurutnya, suspek berusia 27 tahun itu berjaya diberkas anggota Balai Polis Pantai Remis beberapa jam kemudian.

“Hasil siasatan mendapati suspek yang bekerja sebagai juru pendawaian di Selangor itu mendakwa mengenali mangsa melalui WeChat pada hari sebelumnya.

“Mengikut pengaduan mangsa, lelaki itu merogolnya di dalam kereta yang diberhentikan di tepi pantai di Pantai Remis sebelum menghantar pulang mangsa ke rumah keluarganya,” katanya.

Tengku Mohd Zailan berkata, suspek yang juga berasal dari Pantai Remis direman selama tujuh hari untuk meneruskan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merogol.

“Mengikut seksyen berkenaan, suspek boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika didapati bersalah,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.