Mahkamah Benarkan Balu Karpal Singh Rayu Sabitan Denda Kerana Menghasut

Putrajaya – Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan balu mendiang Karpal Singh untuk meneruskan rayuannya terhadap sabitan dan denda RM4,000 yang dijatuhi ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi kerana menghasut sebelum beliau meninggal dunia.

Barisan panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Aziah Ali membenarkan permohonan Gurmit Kaur (gambar), yang juga pentadbir harta pusaka mendiang suaminya untuk bertindak sebagai perayu pengganti.

Mahkamah yang juga disidangi oleh Hakim Datuk Zakaria Sam dan Datuk Abdul Rahman Sebli menetapkan 21 Januari tahun depan untuk mendengar rayuan.

Anak lelaki mendiang, Ramkarpal Singh berkata keluarga mahu meneruskan rayuan terhadap penyabitan dan denda walaupun mendiang meninggal pada 17 April tahun ini dalam usaha untuk membersihkan namanya.

Ramkarpal yang juga peguam bagi Gurmit berkata jika beliau (Gurmit) berjaya dalam rayuan untuk mengetepikan sabitan dan denda ke atas Karpal, beliau, sebagai pentadbir harta pusaka mempunyai hak terhadap pencen mendiang suaminya. Karpal adalah bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor.

Permohonan untuk bertindak sebagai perayu pengganti dikemukakan mengikut Aturan 41 Kaedah-kaedah Mahkamah Rayuan 1994.

Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali tidak membantah permohonan Gurmit untuk bertindak sebagai perayu pengganti.

Pada 21 Februari tahun ini, Karpal didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur atas tuduhan menghasut kerana mempertikaikan kuasa Sultan Perak menyingkirkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar Perak pada 2009.

Karpal melakukan kesalahan itu di firma guamannya di Jalan Pudu Lama, Kuala Lumpur pada 6 Februari, 2009.

Pada 11 Mac tahun ini, dia didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi kerana kesalahan dan kemudian, pada 24 Mac, dia memfailkan notis untuk membawa kes itu untuk rayuan di Mahkamah Rayuan.

Pada 21 Ogos tahun ini, keluarganya mengemukakan petisyen rayuan, antara lain, menyatakan bahawa hakim Mahkamah Tinggi yang mendapati Karpal bersalah kerana menghasut gagal mempertimbangkan pembelaan Karpal bahawa keputusan Sultan boleh dicabar.

Karpal, 73, yang berkerusi roda, terkorban dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Gua Tempurung pada 17 April lepas sebelum beliau sempat mencabar sabitannya di Mahkamah Rayuan.

Dalam kemalangan itu, pembantu peribadinya, Michael Cornelius juga terbunuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.