Kerajaan DAP Pulau Pinang Sibuk Jual Tanah

Pualau Pinang – Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang Datuk Zainal Abidin Osman (gambar) mendakwa kegagalan kerajaan negeri membina rumah kos rendah dan sederhana sejak mengambil alih pentadbiran pada 2008 kerana hanya memberi tumpuan kepada penjualan tanah milik kerajaan negeri.

Beliau berkata sehingga penghujung tahun ini kerajaan negeri menjual seluas 314 hektar tanah di Batu Kawan kepada beberapa pemaju swasta dengan harga jualan terkumpul bernilai RM1.636 bilion.

“Berikut adalah butiran penjualan tanah di Batu Kawan iaitu pada 12 Oktober 2013 Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) menandatangani perjanjian dengan PE Land Sdn Bhd untuk tanah seluas 15.816 hektar pada harga jualan RM65.34 juta (RM37.94/kps) bagi pembinaan “premium retail outlet”, hotel mewah dan lain-lain.

“Pada 10 Januari 2014 kerajaan negeri menandatangani perjanjian penjualan tanah seluas 98 hektar kepada Aspen Land Sdn Bhd berjumlah RM483,951,600 (RM45.34/kps) untuk membina pusat beli-belah dan pembangunan bercampur dan Aspen diberikan tempoh 60 bulan menjelaskan harga pembelian tanah itu,” katanya dalam kenyataan di George Town hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kenyataan Ketua Menteri Lim Guan Eng pada Khamis lepas dan ucapan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa Jagdeep Singh Deo pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada Jumaat lepas yang mengakui kerajaan negeri tidak membina rumah kos rendah dan kos sederhana rendah sejak 2008.

Pengakuan itu dibuat ketika Jagdeep Singh menjawab soalan Ketua Pembangkang Datuk Jahara Hamid pada persidangan DUN 7 November lepas.

Selain itu Zainal berkata pada 25 Mac 2014, PDC juga menandatangani perjanjian penjualan tanah seluas 12 hektar dengan Paramount Corp Berhad berjumlah RM65.56juta (RM40.50/kps untuk membina kolej swasta dan RM55.00/kps untuk pembangunan bercampur).

Katanya pada 15 September lepas, Eco World Development Group Berhad juga dilaporkan bersetuju menerima tawaran PDC untuk membeli tanah seluas 188 hektar di Batu Kawan bernilai RM1.02 bilion untuk pembinaan padang dan kelab golf (60 hektar) manakala selebihnya untuk pembangunan bercampur.

Katanya tanah-tanah milik PDC itu adalah tanah-tanah yang diperoleh kerajaan melalui proses pengambilan balik tanah atau tebus guna laut dengan kedua-duanya turut melibatkan penggunaan dana awam.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang membuat keuntungan besar dalam penjualan tanah kepada syarikat-syarikat pemaju swasta.

“Oleh kerana harga tanah yang tinggi, maka rumah yang dijual juga mahal, ia bagi memastikan keuntungan operasi syarikat, dari maklumat diperolehi, pemaju di Bayan Mutiara menawarkan unit apartmen berkeluasan 455 kaki persegi pada harga RM200,000 seunit,” katanya.

Zainal berkata kerajaan negeri juga sering bermegah dengan peruntukan RM500 juta kepada PDC hasil penjualan tanah milik kerajaan negeri untuk Projek Rumah Mampu Milik yang sedang dirancang untuk dibina.

Sementara itu, katanya sebagai agensi persekutuan atau syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Lembaga Pembangunan Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan JKP Sdn Bhd juga menggunakan laba daripada jualan rumah untuk tujuan pemajuan rumah kos rendah dan kos sederhana rendah pada masa hadapan bagi memastikan kedua-dua agensi berkenaan terus berdaya maju dan berdaya saing serta mencegah daripada menanggung kerugian dalam operasi.

“Tidak wajar membuat kesimpulan Perda dan JKP Sdn Bhd membuat keuntungan besar melalui projek-projek yang dicadangkan berdasarkan anggaran keuntungan dan menjadikannya sebahagian alasan untuk tidak meluluskan pelan pembangunan yang dipohon.

“Jangkaan keuntungan 15 projek sebanyak RM149 juta adalah kecil dan munasabah berbanding dengan keuntungan berbilion billion ringgit melalui penjualan tanah-tanah oleh kerajaan negeri yang diperolehi dengan harga 34 sen sekaki persegi,” katanya.

Katanya Perda juga bersedia merombak komposisi komponen perumahan yang dicadangkan dalam permohonan Pelan Kebenaran Merancang yang terdahulu untuk memenuhi kehendak pihak berkuasa tempatan sekiranya tidak menyebabkan kerugian kepada Perda.

“Bagaimanapun pihak berkuasa tempatan perlu berlaku adil kepada Perda dengan memberi layanan yang sama dinikmati oleh pemaju-pemaju perumahan lain yang membangunkan tanah-tanah yang dibeli daripada kerajaan negeri,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.