DUN Pulau Pinang Tolak Usul Tergempar Potong Gaji Guan Eng

Butterworth – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini menolak usul tergempar menggantung kerja Ketua Menteri Lim Guan Eng (gambar) kerana gagal membentangkan jawapan soalan bertulis seperti ditetapkan dalam Peraturan 15 di bawah Majlis Mesyuarat DUN Pulau Pinang.

Speaker Datuk Law Choo Kiang ketika menolak usul yang dikemukakan Ketua Pembangkang DUN Datuk Jahara Hamid berkata jawapan bertulis itu diserah kepada wakil rakyat pagi ini.

“Untuk usul ini saya tidak ingin ia dijadikan perbahasan pagi ini. Peringatan saya untuk semua bahawa jawapan yang disediakan perlu disampaikan kepada ahli Yang Berhormat supaya ia boleh dijadikan input untuk perbahasan,” katanya pada persidangan DUN di George Town.

Jahara (BN-Telok Ayer Tawar) dalam usul itu, berkata perkara itu melibatkan kewibawaan dewan dalam memperundangkan undang-undang melalui pematuhan aturan mesyuarat yang telah ditetapkan.

“Tidak pernah dalam sejarah dewan yang mulia ini sejak zaman mendiang Tan Sri Wong Pow Nee, mendiang Tun Dr Lim Chong Eu dan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Peraturan 15 ini dilanggar.

“Mereka akan membentangkan jawapan kepada soalan bertulis sebaik saja selesai sesi soal jawab tiga jam. Peraturan 15 dipatuhi dengan menghormati peraturan tersebut oleh kesemua ketua menteri Barisan Nasional,” katanya.

Peraturan 15(1) menetapkan perkara kecil (h) iaitu soalan yang dinyatakan terlebih dahulu dan jawapan kepadanya hendaklah diselesaikan sebelum perkara kecil (j) iaitu mengemukakan rang undang-undang kerajaan dipertimbangkan.

Jahara berkata ketua menteri mendahulukan Rang Undang-undang Perbekalan 2015 sebelum jawapan kepada soalan bertulis dibentang.

“Sekiranya peraturan yang ditetapkan oleh dewan yang mulia ini boleh dipinda sesuka hati tanpa mendapat kelulusan dewan, atau tidak dipatuhi, bagaimanakah kerajaan negeri memastikan kewibawaannya dalam melaksanakan undang-undang yang diluluskan dengan kuasa dewan ini dipatuhi oleh masyarakat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.