Dugaan, Terkejut Dapat Tahu Menang Tetapi Tidak Sempat Ambil Trofi – Natasha

Kuala Lumpur – Menang tetapi tidak sempat mengambil trofi kemenangan pastinya meninggalkan perasaan kecewa mendalam pada sesiapa saja.

Begitu juga perasaan dikongsi pelakon jelita, Natasha Hudson apabila tidak sempat naik ke pentas mengambil trofi kemenangan pada Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) yang berlangsung pada 8 November lalu.

Natasha yang menerima anugerah Pelakon Pembantu Wanita Filem Terbaik pada majlis itu lambat hadir akibat kesesakan lalu lintas.

“Memang dugaan apabila sampai di depan PWTC, jalan masuk ke tempat letak kereta ditutup dan saya menjadi kelam kabut.

“Kemudian, ketika saya terus berlari masuk ke dewan saya terkejut selepas mendapat tahu nama saya diumumkan sebagai pemenang tetapi apakan daya tidak sempat mengambil trofi,” katanya ketika ditemui di belakang pentas.

Di sebalik kekecewaan itu, Natasha yang menang menerusi lakonan dalam filem Lemak Kampung Santan tetap bersyukur apabila ia adalah anugerah pertama dimenanginya di ASK 2014.

Mengulas lanjut kemenangannya, Natasha mengakui watak Sofia dalam filem arahan Hans Isaac itu suatu yang berat untuk dilakonkan. Namun, dia berpuas hati kerana kelainan watak yang dibawakanya kali ini menjadi.

“Watak itu memang berat. Selama ini saya selalu dengan watak lemah lembut dan baik.

“Sukar untuk saya menghayati watak itu apabila karakternya memberi impak saya sangat dibenci tetapi tidak sangka, watak itu sebenarnya disukai,” katanya.

Mengenai perkembangan terbaru, Natasha menyatakan dia ada menerima tawaran berlakon tetapi buat masa ini memilih mahu menumpukan perhatian pada pengajiannya dalam jurusan Ijazah Pengajian Islam di Pusat Islam Yayasan Taklim.

“Alhamdulillah, saya berjaya tamatkan Diploma Pengajian Islam pada Mei lalu dan sekarang menyambung di peringkat Ijazah yang dijangka selesai pada April tahun depan.

“Rindu berlakon memang ada tetapi saya mahu mencari skrip dan watak yang sesuai.

“Buat masa ini, saya perlu bahagikan masa antara keluarga dan pelajaran. Memandangkan suami saya belajar jurusan yang sama dan perlu hadir ke kelas, kami bergilir menjaga anak.

“Dugaan belajar ini pun besar apabila saya perlu fokus bersungguh-sungguh dan pada tahun ini, saya perlu menghafal sekurangnya tiga juzuk,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.