Demi Masa Depan PAS, Hadi Awang Diminta Berundur

Kuala Lumpur – Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedang dipujuk rakan-rakannya agar berundur demi masa depan PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) dan masalah kesihatannya yang tidak melayakkannya untuk terus memimpin parti Islam itu, kata sumber.

Menurut portal Malaysian Insider jika Hadi bersetuju, parti Islam itu boleh memperbaiki hubungan mereka bersama PKR dan DAP yang semakin keruh disebabkan sikap dingin presiden PAS itu.

Hadi tidak menghadiri Mesyuarat Majlis Presiden PR sejak tidak bersetuju dengan tindakan PKR dan DAP untuk menyingkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar Selangor pada Ogos lepas.

Menurut pemimpin veteran parti itu, kesihatan Hadi tidak begitu baik sejak mengalami sesak nafas dan dimasukkan ke hospital di Istanbul, Turki pada Mei.

Difahamkan selepas pulang dari Turki, Hadi sukar untuk mengawal kemarahannya dan beberapa insiden memalukan berlaku seperti memarahi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengunjunginya di Terengganu semasa kemelut menteri besar Selangor.

“Presiden banyak berubah selepas masuk hospital di Turki dan seringkali membuat keputusan secara bersendirian. Mungkin sudah sampai masa untuk beliau berundur,” kata seorang pemimpin kanan PAS kepada portal tersebut  dengan syarat tidak dinamakan.

Selepas mengeluarkan pendirian berbeza berulang kali dengan pemimpin PR, Hadi tidak menghadiri pelancaran Belanjawan 2015 PR dan pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat pada 10 Oktober lalu.

Ketidakhadiran Hadi dan keputusan yang dikeluarkannya seringkali bercanggah dengan PR menyebabkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memberi amaran kemungkinan PAS akan meninggalkan gabungan itu sekiranya presidennya terus tidak memberikan komitmen.

Difahamkan, pujukan agar Hadi berundur dilakukan pemimpin veteran yang dihormati presiden PAS itu sendiri.

Sumber berkata, jika rakan lama dalam PAS berjaya memujuknya, Hadi boleh mengambil alih jawatan mursyidul am yang kini disandang Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Selepas meletakkan jawatan sebagai presiden PAS, Hadi tidak perlu lagi menghadiri mesyuarat bersama PR dan parti Islam itu dapat meneruskan kerjasama bersama PKR dan DAP untuk menawan Putrajaya, kata sumber itu.

Sumber berkata, ramai yang mengharapkan Hadi tidak mengumum akan mempertahankan jawatannya dalam pemilihan parti tahun depan.

“Namun halangan kita yang terbesar adalah, kepimpinan dalam PAS ni bukan kepimpinan politik saja atau pertubuhan biasa, tetapi juga kepimpinan jemaah Islam yang tidak ada umur bersara,” kata sumber itu merujuk kepada keadaan Nik Aziz yang sedang uzur sekarang ini.

Walaupun terdapat cakap-cakap Hadi akan membawa PAS keluar PR, ahli Parlimen Marang itu mengumumkan pada Ogos parti itu akan tetap bersama gabungan yang ditubuhkan pada 2008 itu.

Bagaimanpun, Hadi menegaskan PAS akan terus mempunyai ideologinya sendiri yang mungkin bercanggah dengan rakan-rakan PR.

Anwar yang juga ketua umum PKR bagaimanapun menolak dakwaan itu dan berkata beliau seringkali berhubung dengan Hadi.

“Saya tidak rasa begitu, tidak elok mengatakan demikian. Saya ada berkomunikasi dengan beliau. Ia bukanlah satu masalah,” katanya.

Jika Hadi bersetuju untuk berundur, masalah baru yang timbul adalah siapakah yang bakal menggantikannya, soal seorang aktivis PAS.

Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu popular tetapi tidak disukai golongan konservatif yang turut membenci Anwar.

“Kalau timbalan beliau, Mohamad Sabu, ramai pihak yang tidak akan senang. Nama yang popular adalah Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man tetapi beliau tidak berminat untuk memegang jawatan itu,” kata aktivis yang sudah berama parti Islam itu selama lebih 30 tahun.

Bagaimanapun seorang lagi aktivis parti Islam itu yakin Mohamad mampu menggalas jawatan presiden PAS dan memperkukuhkan PR.

“Dalam PAS siapa yang paling dihormati PKR dan DAP? Mat Sabu disenangi Guan Eng dan Anwar.

“Mat Sabu jugalah yang seringkali menggantikan Hadi dalam mesyuarat Pakatan apabila Hadi tidak hadir,” katanya.

Tuan Ibrahim yang juga pesuruhjaya PAS Pahang dilihat sebagai ulama yang paling berpengaruh dalam parti Islam itu selepas Hadi dan Nik Aziz ekoran sikap terbukanya dalam menghadapi kepelbagaian.

Selain Tuan Ibrahim dan Mohamad, terdapat juga kempen kecil dimulakan agar seorang lagi naib presiden, Datuk Husam Musa mengambil alih tempat Hadi.

“Namun kalau dia (Hadi) mahu berundur secara sukarela (bukan melalui pertandingan) saya percaya dia akan memilih Tuan Ibrahim sebagai penggantinya,” kata sumber itu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.