Balqis Mampu Tewaskan Pelakon Senior, Menang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik

Kuala Lumpur – Kemenangan pelakon cilik, Puteri Balqis Azizi merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik kategori drama pada Anugerah Skrin 2014 (ASK 2014) baru-baru ini pastinya memberi kejutan ramai.

Pada usia 7 tahun, dia berjaya menewaskan pelakon senior Normah Damanhuri termasuk Nad Zainal dan Melly Amelin.menerusi lakonan cemerlangnya dalam drama Balqis arahan Eirma Fatima.

“Aqish gembira, teruja, terperanjat dan berterima kasih kepada semua, mama dan ayah Aqish. Pada mama Eirma Fatima banyak memberi tunjuk ajar pada Aqish dan berani untuk memberi kepercayaan pada Aqish membawakan watak ini,” katanya.

Menurutnya, watak yang dilakonkannya dalam drama ini cukup mencabar dan 90 peratus kisahnya sama seperti perjalanan hidup sebenarnya.

Anak tunggal kepada Azizi Aziz @ Adziz dan Norashikin Mohd Aziz berkata, minat yang mendalam terhadap lakonan membuatkan dia sentiasa bersungguh-sungguh menghidupkan watak dalam setiap adegan yang dilakonkan.

Katanya, dia tidak pernah mengimpikan menang sebarang anugerah tetapi cukup peminat menghargai dan menerima kehadirannya sebagai anak seni.

“Berlakon memang susah tapi kelamaan Aqish suka dan berasa senang.

“Aqish suka watak mencabar dan berlakon bukan sebab anugerah, Lagipun, Aqish berlakon atas faktor minat dan gembira apabila peminat boleh menerima kehadiran saya,” katanya.

Antara pelakon cilik yang muncul di televisyen, Balqis dikatakan mempunyai kelebihan apabila berjaya mencuri tumpuan penonton menerusi lakonan adegan menangis.

“Nampak memang senang menangis tetapi sebenarnya, susah. Apabila Aqish mahu berlakon adegan menangis, Aqish perlu minum air yang banyak. dan selepas itu berdiam diri sebelum berlakon.

“Pelakon perlu faham cerita dan apabila sudah faham, ia membolehkan pelakon itu untuk menangis,” katanya.

Sunggupun lakonan menjadi kerjayanya, dia tetap mengutamakan pelajaran.

Selain mendapatkan khidmat guru di rumah, dia juga menggunakan masa terluang di lokasi penggambaran untuk mengulang kaji pelajaran.

“Belajar lagi penting. Aqis suka berlakon tetapi mesti kena belajar.

“Ada ketika cikgu juga mengikut Aqish ke set penggambaran dan Aqish belajar apabila ada masa terluang,” katanya.

Dalam pada itu, pencinta kucing ini juga memberitahu dia teringin melakonkan watak dalam kisah seram seperti karakter hantu atau dirasuk.

“Kalau boleh lepas ini Aqish mahu mencuba watak hantu kanak-kanak atau dirasuk,” katanya yang mempunyai 20 ekor kucing di rumah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.