KUALA LUMPUR – Sabah minta pengecualian daripada kerajaan Pusat berhubung cadangan penamatan subsidi telur ayam seperti diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, semalam.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata, ini kerana Sabah bersama Sarawak adalah negeri yang memiliki jurang kemiskinan tinggi sekali gus memerlukan subsidi membabitkan barangan keperluan asas.
“Tidak adil kalau subsidi yang baru terima ditarik semula sedangkan kita banyak sumbangan. Biarlah Sabah bersedia mempertingkatkan penghasilan dan keupayaan agar rakyat kita bukan lagi tergolong dalam kategori miskin tegar.
“Oleh sebab itu, Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah bercadang mewujudkan Pihak Berkuasa Pemasaran Pertanian Sabah untuk membantu rakyat kita.
“Kita sudah memulakan pusat-pusat pengumpulan hasil. Setakat ini sudah ada tujuh pusat pengumpulan dan kita bercadang untuk menambah lebih banyak daripada semasa ke semasa,” katanya di Penampang, lapor BH.
Semalam Mohamad dilaporkan berkata kementeriannya bakal mengkaji semula pemberian subsidi telur ayam bagi gred A, B dan C sekiranya bekalan kembali pulih dan stabil.
Langkah berkenaan wajar dipertimbangkan, katanya, berdasarkan kejayaan penamatan subsidi ayam yang memberi penjimatan sebanyak RM100 juta sebulan.
Sementara itu, Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) tidak menolak kemungkinan kerjasama antara parti politik boleh berlaku di negeri ini terutamanya ketika musim pilihan raya.
“Dalam politik apa pun boleh berlaku dan kita tidak menutup kebarangkalian itu bila-bila masa. Kerjasama di saat akhir juga boleh berlaku tetapi saya harap tidak begitu.
“Kebanyakan situasi ketika ini adalah provokasi dan propaganda yang kita lihat sebagai rancangan untuk melemahkan perpaduan di dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya.
Jeffrey berkata demikian ketika mengulas mengenai wujudnya provokasi yang mahu STAR, Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Warisan (Warisan) bergabung pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.