KUALA LUMPUR – Harga sayuran meningkat antara 10 hingga 20 peratus sejak minggu lalu, susulan fasa peralihan monsun yang mengakibatkan hujan lebat dan banjir di beberapa kawasan seluruh negara.
Pengerusi Persekutuan Penanam Sayur Sayuran Malaysia, Lim Ser Kwee, berkata keadaan cuaca buruk menyebabkan bekalan sayuran berkurangan sehingga 15 peratus, berikutan pengeluaran hasil yang tidak seperti biasa malah ada ladang sayuran terjejas banjir.
Katanya, kenaikan harga sayuran berikutan bekalan sayuran yang terjejas dijangka berterusan sehingga musim Monsun Timur Laut (MTL), bulan hadapan.
Menurutnya, penanam sayuran menjangkakan keadaan cuaca buruk akan bermula bulan depan apabila MTL bermula.
“Namun hujan lebat dan banjir sudah mula melanda sejak minggu lalu di beberapa kawasan di Johor, Perak dan Kedah.
“Ia menyebabkan bekalan beberapa jenis sayuran kini mula terjejas dan berkurangan berikutan hasil pengeluaran tidak menjadi serta rosak akibat hujan terlalu lebat.
“Ia diburukkan lagi apabila ada ladang sayuran termasuk di Simpang Renggam, Kluang ditenggelami banjir,” lapor BH pada Khamis.
Kata Ser Kwee lagi, keadaan ini menyebabkan harga sayuran merekodkan kenaikan antara 10 hingga 20 peratus di pasaran tempatan malah akibat kekurangan bekalan kemasukan sayuran segar ke Singapura juga terjejas sehingga 10 peratus ketika ini.
“Antara sayuran yang merekodkan kenaikan harga termasuk kacang panjang selain kebanyakan sayur daun seperti sawi dan bayam,” katanya.