Parlimen Dibubar – PM Ismail Sabri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada Isnin 10 Oktober 2022.

Menurut Ismail Sabri ini selaras Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, telah bertindak menurut budi bicara Baginda dengan memperkenankan permintaan beliau supaya Parlimen ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022.

“Dengan ini dimaklumkan, bahawa tengah hari semalam, saya telah menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menyembah warkah permintaan kepada Baginda, mengenai pembubaran Parlimen ke-14.

“Saya mengesyorkan ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Kerajaan Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor supaya mengambil tindakan sewajarnya, bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing- masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum Peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri telah memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

“Ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos,” kata Ismail Sabri dalam Perutusan Khas Perdana Menteri pada Isnin.

Sementara itu katanya, penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon, dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan, adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Diindang ditampi beras, dipilih antah satu-satu. Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat. Mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

“Proses ini berlandaskan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

“Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suarasuara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” ucap beliau.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat