Jururawat positif Covid-19, Hospital Queen Elizabeth II berdepan saat getir

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seramai 40 daripada 66 jururawat yang bertugas di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu terpaksa dikuarantin setelah dikesan salah seorang daripada petugas barisan hadapan itu positif Covid-19.

Memetik laporan Malaysiakini, petugas barisan hadapan di wad ICU hospital itu kini sedang berusaha keras merawat kes Covid-19 selepas lebih daripada separuh rakan sekerja mereka kini terpaksa dikuarantin.

Menurut laporan portal itu, sumber rapat hospital terbabit juga memaklumkan bahawa kakitangan perubatan tersebut dijangkiti dari luar hospital sebelum mereka kembali bekerja.

Situasi ini menyebabkan wad ICU menjadi tegang di saat pesakit Covid-19 yang kritikal mulai meningkat, yang mana rawatan ICU merupakan jalan terakhir antara hidup dan mati.

Hospital Queen Elizabeth II bukan merupakan hospital yang khas merawat Covid-19 tetapi ditugaskan untuk membawa semua pesakit ICU yang bukan pesakit Covid-19 dari Hospital Queen Elizabeth I, yang juga terletak di Kota Kinabalu.

Langkah ini untuk membolehkan wad ICU di Hospital Queen Elizabeth I dikhaskan untuk pesakit Covid-19.

Bagaimanapun, berikutan wad ICU Hospital Queen Elizabeth II kini telah lumpuh, ini memberi kesan kepada kemampuan Hospital Queen Elizabeth I untuk memastikan katil mencukui bagi pesakit Covid-19.

Malaysiakini melaporkan, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, ketika dihubungi mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya seorang jururawat di wad ICU terbabit dijangkiti Covid-19 pada 8 Oktober.

“Semua langkah pencegahan dan rawatan telah dilakukan. Perincian mengenai keadaan ICU di Hospital Queen Elizabeth II sedang dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Sabah,” katanya.

Adham juga berjanji bahawa usaha sedang dilakukan untuk memperkuatkan pasukan perubatan yang mengalami tekanan di wad ICU.
“(kakitangan perubatan) telah digerakkan,” jelasnya.

Dengan hanya 26 jururawat yang tinggal, hospital tersebut terpaksa memindahkan sekurang-kurangnya dua pesakit keluar dari wad ICU.

Berdasarkan laporan itu, difahamkan beberapa jururawat yang menjalani tempoh kuarantin itu kini mempunyai gejala yang melibatkan saluran pernafasan, namun ia tidak dapat disahkan mereka dijangkiti melalui rakan sekerja mereka.

Bagaimanapun, difahamkan mereka telah diletakkan di bawah kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga.

Ujian saringan juga telah dilakukan kepada mereka dan juga pesakit di wad yang telah mereka rawat.

Selain itu, langkah-langkah keselamatan juga sedang dilakukan untuk mengawal kontak barisan hadapan di wad ICU dengan kakitangan perubatan lain di hospital.

Sehingga semalam, seramai 68 pesakit positif Covid-19 telah dimasukkan ke ICU.

Seramai 25 pesakit ini memerlukan alat bantuan pernafasan.

Hospital kerajaan di Sabah mempunyai 72 katil ICU.

Usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kapasiti katil di semua hospital di Sabah untuk mengatasi peningkatan kes Covid-19.

Sehingga semalam, seramai 2,105 daripada 3,864 pesakit yang menjalani rawatan Covid-19 adalah dari Sabah.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat