VIDEO: Selepas Teruk Dikecam, Akhirnya Norhizam Mohon Maaf

MELAKA – EXCO kerajaan negeri, Norhizam Hassan Baktee yang mencetuskan kemarahan orang ramai berhubung isu video ‘tinggi suara’ terhadap penduduk Kampung Pulau Nibong, Pengkalan Batu, di sini, yang tular semalam, tampil membuat permohonan maaf petang tadi.

Norhizam yang juga ADUN Pengkalan Batu itu akhirnya mengakui kesilapannya yang bertindak mengikut emosi, serta menjelaskan bahwa dia sedar insiden yang tular di media sosial itu telah memberikan imej negatif kepada dirinya sebagai wakil rakyat dan kerajaan Melaka.

Bagaimanapun, katanya, tindakannya itu dibuat atas dasar tanggungjawab bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan hidup penduduk terutamanya di kawasannya sentiasa terjaga.

“Sebagai ADUN, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan penduduk, terutama rakyat di kawasan saya.

“Justeru, saya memohon maaf terhadap kekasaran bahasa dan keterlanjuran kata pada kejadian semalam. Saya akan berusaha perbaiki kelemahan dalam aspek komunikasi apabila berdepan situasi seperti ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pertemuan bersama kira-kira 10 penduduk Kampung Pulau Nibong anjuran DAP negeri di Seri Negeri di sini.

Pertemuan hampir sejam itu menyaksikan Norhizam yang juga Timbalan Pengerusi DAP negeri dan penduduk saling memohon maaf dan bersalaman.

Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka memohon maaf bagi pihak Norhizam sambil mengakui insiden menjejaskan nama baik Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.