Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull berkata, justeru, pihaknya tidak akan menyiasat kes berkaitan dakwaan kebocoran maklumat pemanggilan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi oleh SPRM.

“Takkanlah kita (cakap) tak boleh kawan? Tapi dengan syarat tidak membocorkan maklumat dan bukti yang kita ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadori Seminar ‘Gearing Up For Corporate Liability’ (Memperlengkapkan Diri Untuk Liabiliti Korporat) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan kelmarin yang meminta suruhanjaya itu menyiasat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam bagi mencari ‘tali barut’ dalam SPRM yang membocorkan maklumat pemanggilan Ahmad Zahid.

Lokman sebelum itu mendakwa Ahmad Zahid akan dipanggil ke ibu pejabat SPRM pada 10 pagi hari ini dan bekas Timbalan Perdana Menteri berkenaan akan ditahan serta didakwa di mahkamah.

Ahmad Zahid hari ini dilaporkan hadir memberi keterangan di ibu pejabat SPRM, di sini.

Mengulas lanjut, Mohd. Shukri menegaskan, notis pemanggilan Ahmad Zahid itu merupakan sebuah dokumen awam dan telah diketahui umum.

“Apabila kita menyerahkan notis kepada Ahmad Zahid, ia bukan lagi rahsia dan Ahmad Zahid boleh beritahu isterinya, peguam dan rakan. Ia bukan lagi rahsia,” katanya.

Ditanya bilakah SPRM akan memanggil Tan Sri Musa Aman untuk siasatan, Mohd. Shukri berkata, bekas Ketua Menteri Sabah itu akan dipanggil apabila tiba waktunya. – UTUSAN ONLINE