Pusat Pemindahan Banjir Mula Dibuka Di Perak

BENCANA banjir mula melanda negeri ini dengan satu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sudah dibuka di daerah Hilir Perak iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Jong, Teluk Intan, hari ini.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata, banjir mula dilaporkan melanda kawasan Changkat Jong kira-kira 7 pagi tadi.

Menurutnya, setakat ini satu PPS sudah dibuka dengan jumlah mangsa dipindahkan setakat 11.30 pagi tadi seramai 27 mangsa membabitkan 10 keluarga.

“Kawasan yang terbabit banjir adalah Kampung Batu 7, Batu 8 dan Batu 9, Changkat Jong dan kerja pemindahan mangsa masih diteruskan membabitkan semua agensi keselamatan.

“Pecahan mangsa yang ditempatkan di PPS SK Changkat Jong setakat ini adalah membabitkan 10 keluarga dengan 27 mangsa iaitu empat lelaki dewasa, lima kanak-kanak perempuan, dan masing-masing sembilan wanita dewasa dan kanak-kanak lelaki,” katanya ketika dihubungi di Teluk Intan, hari ini.

Menurutnya, punca banjir dipercayai akibat limpahan air Sungai Bidor susulan hujan lebat bermula petang semalam dan awal pagi hari ini.

“Paras air semakin naik, namun keadaan cuaca ketika ini adalah baik dan pemantauan masih dijalankan serta maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.