VIDEO: PTPTN: Usah Jadikan Hutang Negara Sebagai Alasan Tak Tunai Janji, Kata Mahasiswa

SHAH ALAM – Isu bayaran semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memang menjadi antara topik hangat kebelakangan ini.

Mana tidaknya, kenyataan demi kenyataan dikeluarkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bermula sebelum pilihan raya sehinggalah kini, sekaligus menimbulkan rasa kurang senang rakyat khususnya para peminjam.

PH dalam manifesto mereka berjanji untuk menangguhkan bayaran balik pinjaman PTPTN bagi mana-mana peminjam bergaji di bawah RM4,000 sebulan.

Bagaimanapun, ia masih belum dilaksanakan memandangkan mekanisme ke arah merealisasikan manifesto itu masih dalam peringkat perbincangan.

Di tengah-tengah kehangatan isu itu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir pula tampil membidas peminjam yang gagal membayar hutang bantuan pengajian dari kerajaan sebagai tidak amanah, tidak bertanggungjawab dan tiada perasaan malu kerana sengaja enggan membayarnya.

Bagi mendapatkan maklum balas mahasiswa, krew SuaraTv melakukan tinjauan rambang dan mendapati rata-rata golongan ini meluahkan rasa kecewa kerana merasakan kerajaan seolah-olah memberi harapan palsu.

Seorang penuntut jurusan Geomatik dari sebuah IPTA, Muhammad Ashrul Muhamad Zubir, 23, berkata kerajaan tidak sepatutnya menjadikan alasan bebanan hutang negara untuk tidak menunaikan janji yang dibuat sebelum ini.

“Dari segi pembayaran balik, saya rasa kena ikut janji la… mereka kata nak tangguhkan sehingga pendapatan semua orang pada level (tahap) yang mampu, baru bayar.. itu saya rasa yang terbaik.

“Kecewa…saya rasa alasan hutang negara hanya propaganda… ia sekadar alasan, untuk tidak tunaikan janji,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Fitri Baharudin, 23, berpendapat golongan pelajar seperti dirinya berasa seperti ditipu apabila kerajaan seolah-olah memberi harapan palsu, yang mana sehingga kini janji penangguhan bayaran masih lagi tidak dilaksanakan.

“Sebagai seorang pelajar, memang kita akan rasa kecewa lah, sebab masa manifesto, kata nak hapuskan, kata nak tangguh (bayaran balik), tapi bila dah pegang jawatan, janji tinggal janji,” katanya.

Bagi Muhammad Safwan Zakaria, 24, beliau berpendapat,kerajaan sewajarnya memandang ke hadapan dengan melakukan kajian lebih teliti bagaimana mahu merealisasikan manifesto mereka, dan bukannya terus menyalahkan peminjam kerana gagal membayar hutang.

“Kalau kena bayar balik tu tak ada masalah, cuma kerajaan perlu meningkatkan peluang pekerjaan kepada lepasan universiti, jadi mereka boleh bayar balik pinjaman. Yang ada kerja mungkin tak ada masalah nak bayar, mungkin yang menganggur itu yang susah.

“Mereka dah buat janji pasal PTPTN ni, jadi mereka kena kaji semula lah apa yang mereka janjikan. Mungkin dapat pengurangan atau mansuhkan interest (faedah). Maknanya apa yang mereka janjikan dengan rakyat, dengan pelajar, dia kena tepati. Jangan sekadar propaganda dan nak meraih undi.

“Rasa macam kena tipu laa sebab apa yang dijanjikan tidak ditepati,” katanya lagi. -SuaraTv

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.