Permohonan Lesen Pusat Tahfiz Tidak Berdaftar Tak Semestinya Diluluskan – Khalid

KUALA LUMPUR – Sekolah atau pusat tahfiz yang beroperasi secara haram dan membuat permohonan pendaftaran lesen kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tidak semestinya diluluskan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya akan membuat tapisan serta pemantauan sama ada kawasan operasi pusat tahfiz berkenaan sesuai atau sebaliknya terlebih dahulu sebelum meluluskannya.

“Kita ada bekerjasama dengan Jawi dan pertubuhan bukan kerajaan untuk mengenal pasti pusat tahfiz yang tidak berdaftar dan akan menyenaraikannya.

“Bila nak daftar, mereka (pengusaha pusat tahfiz) kena datang jumpa kita supaya kita boleh tahu bagaimana mereka boleh dibantu, tetapi sekiranya kita dapati tempat yang digunakan tidak selamat, maka kita mungkin cadangkan tempat lain.

“Bukan daftar dalam erti kata terus dapat kelulusan, tetapi supaya dapat masuk dalam senarai dan kita tahu kalau ada apa-apa masalah lebih awal. Jangan tiba-tiba berlaku apa-apa baru kita tahu yang tahfiz itu wujud,” katanya semasa sidang media di Menara DBKL hari ini.

Khalid berkata, hampir 120 pengusaha pusat tahfiz telah membuat permohonan sejak arahan memestikan pendaftaran pusat tahfiz yang beroperasi di Kuala Lumpur dikeluarkan bermula 26 September hingga 31 Disember 2018.

“Kita buat bersama Jawi, mereka (pengusaha tahfiz) kadang-kadang daftar dengan Jawi tetapi tidak maklumkan dengan DBKL,” katanya sambil memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pengusaha tahfiz terbabit Jumaat ini.

Khalid sebelum ini dilaporkan berkata DBKL akan menutup semua pusat tahfiz tidak berdaftar dan beroperasi secara haram, termasuk pusat tahfiz di Kepong yang pengetuanya didakwa meliwat 9 pelajar, bagi memastikan keselamatan serta kebajikan pelajar terjamin.

Beliau kemudiannya menafikan laporan berhubung dakwaan tersebut.

Sebaliknya kata beliau, pusat tahfiz yang beroperasi secara haram diberi masa sehingga 31 Disember tahun ini untuk mendaftar dengan DBKL dan Jawi. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.