Mangsa Banjir Di Kedah Meningkat

ALOR SETAR – Hujan lebat sejak awal pagi ini mengakibatkan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus bertambah kepada 550 orang daripada 167 keluarga yang ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pukul 7 pagi tadi.

Jumlah berkenaan meningkat berbanding seramai 501 orang daripada 151 keluarga yang ditempatkan di sembilan PPS pada pukul 6 petang semalam.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Kedah, Mejar (PA) Imran Azemi berkata, sebanyak empat PPS dibuka di Kota Setar, lima di Baling dan satu di Kubang Pasu.

Beliau berkata, 289 mangsa daripada 95 keluarga di Kota Setar ditempatkan di PPS Surau Al-Syakirin, Sekolah Kebangsaan (SK) Gunung, Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah dan Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti.

Di Baling pula, 184 mangsa daripada 51 keluarga ditempatkan di lima PPS iaitu Dewan Risda Kampung Tanjung Pari, Dewan Orang Ramai Keda Batu 8, Dewan Kampung Weng Luar, Kampung Banggol Derom dan Dewan Batu 60.

“Di Kubang Pasu, hanya sebuah pusat pemindahan dibuka iaitu di PPK Lubuk Batu membabitkan seramai 77 mangsa daripada 21 keluarga,” katanya. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.