Laungan ‘Khabib!’ Bergema, McGregor Digelar ‘Si bodoh’

KASPIYSK – Atlet MMA Russia Khabib Nurmagomedov berkata, dia sudah ‘menutup mulut si bodoh’ Conor McGregor ketika menerima sambutan wira sejurus tiba di negeri kelahirannya, Dagestan susulan kejayaannya mempertahankan kejuaraan lightweight UFC dengan menewaskan atlet Ireland itu di Las Vegas.

“Khabib! Khabib!” laung lebih 20,000 peminat bagi meraikan ketibaan juara tanpa kalah itu di sebuah arena di bandar Kaspiysk yang terletak 14 kilometer dari bandaraya utama Dagestan, Makhachkala.

Teruja dengan penampilan atlet berkenaan, ratusan rakan rapatnya cuba untuk melepasi deretan pengawal dalam usaha mereka berada lebih hampir dengan Khabib.

“Terima kasih saudara,” kata Khabib sambil menunjukkan tali pinggang juara kepada orang ramai.

Sabtu lalu, Khabib mempertahankan kejuaraan dunia miliknya di arena Ultimate Fighting Championship (UFC) selepas menewaskan McGregor yang membuat keputusan menyerah kalah pada pusingan keempat pertarungan.

Kemenangan itu menyaksikan atlet gabungan seni mempertahankan diri (MMA) itu memperbaiki rekod profesionalnya kepada 27-0.

“Saya berdoa kepada Tuhan setiap hari supaya tidak memperoleh kecederaan, atas semua yang berlaku,” kata Khabib.

“Saya mahu menutup mulut si bodoh untuk membuktikan perbezaan di antara orang kita dan orangnya. Tiada siapa boleh memecah belahkan kita, orang kita mempunyai sejarah yang hebat.”

Sebelum pertarungan itu berlangsung, McGregor yang terkenal dengan kelancangan mulutnya beberapa kali melanggar batas dengan menyentuh hal peribadi Khabib dengan menghina agama, negara dan ayahnya.

Sekali pun memenangi tali pinggang berkenaan, Khabib begitupun masih menunggu pengesahan sama ada dia akan menerima wang hadiah kemenangan berjumlah AS1.5 juta dolar (RM6.24 juta) selepas mencetus kekecohan dengan melompat pagar gelanggang untuk menyerang salah seorang rakan pelatih McGregor, Dillon Danis.

Sementara itu, UFC menggantung McGregor daripada bertarung selama sebulan selepas gagal melepasi ujian perubatan manakala Khabib tidak dikenakan sebarang penggantungan. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.