Ketua Menteri Melaka Mohon Maaf Atas Kelakuan Kasar ADUN Kerajaan

MELAKA – Kerajaan negeri Melaka memohon maaf berhubung kejadian melibatkan seorang wakil rakyat yang didakwa bertindak kasar dengan penduduk Kampung Pulau Nibong di sini yang tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Menteri Melaka Adly Zahari berkata, pihaknya kesal dengan insiden tersebut kerana isu penutupan jalan di Taman Akasia seharusnya diselesaikan dengan cara baik dan tidak melibatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu, Norhizam Hassan Baktee.

Beliau berkata isu berkenaan sepatutnya diselesaikan di peringkat pihak berkuasa tempatan sahaja.

“Saya bagi pihak Kerajaan Negeri Melaka memohon maaf atas kejadian yang berlaku…mungkin apa yang berlaku disebabkan oleh kerana exco kita kurang berpengalaman dalam mengurus isu-isu melibatkan masyarakat dan penduduk setempat.

“Kalau kita lihat sebelum ini, kita daripada pembangkang menjadi sebuah kerajaan, banyak perkara atau aspek yang perlu ditambah baik terutama melibatkan komunikasi dengan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Dalam kejadian semalam, Norhizam yang juga Exco Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri mencetuskan kontroversi apabila rakaman video berdurasi dua minit 27 saat melibatkan beliau bertikam lidah dengan sekumpulan penduduk tersebar di laman sosial.

Berita Berkaitan
VIDEO: Exco DAP Melaka ‘Gangster’ Dengan Nelayan Kerana Bendera

VIDEO: ”Saya Tak Nak Cakap Dengan Orang Yang Tak Sekolah”

Exco Melaka Dakwa Sering Dapat Mesej Lucah Dari Wanita

Wakil rakyat DAP itu hadir di taman tersebut bagi menghadiri sesi dialog dan sidang akhbar berhubung penutupan jalan pintas Kampung Pulau Nibong-Taman Akasia, kira-kira pukul 9 pagi, namum ia bertukar menjadi kecoh apabila sekumpulan penduduk meminta penjelasan mengenai penutupan jalan pintas berkenaan.

Adly berkata beliau telah melihat video berkenaan dan Norhizam sepatutnya menjaga komunikasi dalam menyelesaikan isu berkaitan rakyat, sebagai pemimpin beliau perlu menunjukkan contoh terbaik kerana bahasa yang digunakan memberi kesan pada perbincangan atau komunikasi.

Beliau berkata satu perbincangan berkaitan penutupan jalan di taman terlibat akan dilakukan semula melibatkan penduduk taman dan kampung tersebut bersama Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar Melaka Tey Kok Kiew.

Katanya, perbincangan yang bakal dibuat perlu mengambil kira pandangan dan kepentingan kedua-dua pihak dan keputusan yang dilakukan perlu dipersetujui secara bersama. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.