Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, tiada sebarang aduan mahupun rungutan berkaitan SOP yang dilakukan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) selama ini.

“Setakat ini tiada sebarang aduan berhubung pelaksanaan operasi itu sebab kita ada kaedah tersendiri serta meneruskan SOP seperti biasa.

“Malah, SOP cegah maksiat itu memang kemas sebab dibuat oleh mereka yang pakar dalam bidang tersebut bukannya orang politik.

“Pada pandangan saya, sekiranya ada kelemahan dan kekurangan pada SOP yang diguna pakai, itu yang perlu diperbaiki dan diperkemaskan bukan membuang sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kontroversi kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Mujahid Yusof berhubung isu serbuan khalwat baru-baru ini. – UTUSAN ONLINE