Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang Zulkhairi Zainol Abidin berkata walaupun tidak mengalami sebarang kecederaan, bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu tetap akan dirawat di hospital itu sehingga dia benar-benar sihat.

“Pihak JKM sendiri melawat bayi itu di hospital untuk melihat perkembangannya dan dia didapati dalam keadaan baik, tiada kecederaan di tubuh badannya.

Bagaimanapun dia akan terus diletakkan di bawah pemantauan hospital sehingga disahkan sihat dan dibenarkan keluar dari hospital,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Katanya selepas dibenarkan keluar dari hospital nanti, Pegawai Pelindung akan memohon perintah mahkamah bagi menempatkan sementara bayi berkenaan di institusi kebajikan selain akan turut menguruskan pendaftaran sijil kelahirannya.

Dalam kejadian sekitar pukul 5.00 pagi semalam, orang awam menemui bayi lelaki ditinggalkan di dalam sebuah tandas wanita di Hentian Lanchang, Temerloh, dalam keadaan bogel dan penuh dengan najis.- BERNAMA