Siasatan Seleweng Dana, Adik Shafie Apdal Beri Keterangan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini memanggil adik kepada Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) Datuk Seri Shafie Apdal, berhubung siasatan kes penyelewengan dana pembangunan luar bandar di negeri itu.

Menurut laporan The Star Online, Hamid Apdal hadir ke pejabat SPRM di Kota Kinabalu pada pukul 10 pagi tadi, selepas badan itu gagal menemuinya ketika pergi ke rumahnya semalam.

Menurut laporan itu, Hamid dipercayai terlibat dalam siasatan pihak berkuasa terhadap penyelewengan dana melalui jaringan sekurang-kurangnya 60 syarikat yang diberikan projek pembangunan luar bandar di Sabah.

Sumber memberitahu portal itu, sekurang-kurangnya dua anggota Dewan Undangan Negeri dan seorang senator dijangka akan dipanggil untuk memberikan kenyataan.

Semalam, seorang senator dari parti komponen BN dibebaskan selepas memberi kenyataan berhubung isu itu, kata laporan itu.

Pagi tadi, dua pemuda pemimpin Umno Sabah dan ketua pemuda WARISAN direman lima hari.

Ketua Penerangan Pemuda Umno Sabah yang juga Ketua Pemuda Umno Tenom Jamawi Jaafar dan Ketua Pemuda WARISAN Mohd Azis Jamman ditahan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Kota Kinabalu, semalam. Manakala Ketua Pemuda Umno Tawau Ariffin Kassim pula ditahan di pejabat SPRM di Tawau.

Jamawi kini adalah pegawai khas di Kementerian Komunikasi dan Multimedia. Namun, difahamkan yang penahanan itu berkaitan dakwaan kesalahan yang dilakukan ketika dia menjadi pembantu kepada Presiden WARISAN Datuk Seri Shafie Apdal ketika Shafie menjadi menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Mohd Azis merupakan Ketua Pemuda Umno Semporna sebelum keluar parti dan menyertai WARISAN.

Tempah reman Naib Presiden WARISAN Peter Anthony yang ditahan Khamis lalu turut dilanjutkan selama tiga hari.

Dakwaan penyelewengan dana itu dikatakan bagi projek pembangunan yang sepatutnya dilaksanakan Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, sebelum pemecatan Shafie daripada portfolio itu ketika rombakan kabinet pada 2015.-Malaysiakini

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.