‘Selamat Pulang Zakaria, Susun Semula Lembaga FGV’

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) mengalu-alukan kepulangan presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Felda Global Ventures Holding Bhd (FGV) Datuk Zakaria Arshad ke syarikat perladangan itu.

“Adalah diharapkan gandingan beliau dengan Pengerusi FGV, Datuk Wira Azhar Abd Hamid, mampu melakukan sesuatu khususnya pelan pemulihan ke atas prestasi semasa FGV,” kata presiden ANAK Mazlan Aliman.

Setelah terpalit dengan konflik dalaman melibatkan bekas pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad, Zakaria akan menyambung kembali tugasnya selepas diminta bercuti sejak 6 Jun lalu.

FGV berkata, Zakaria diminta bertugas selepas mengambil kira program transformasi semasa syarikat, komitmen serta jaminan Zakaria bagi menyelesaikan isu hutang tertunggak Safitex Trading LLC, Menteri Kewangan (Diperbadankan), sebagai pemegang saham khas FGV.

ANAK sebagai NGO pemantau hal ehwal Felda bagaimanapun tidak senang dengan anggota lembaga pengarah sedia ada FGV dan menuntut mereka meletakkan jawatan.

“Mereka sudah tidak mampu memikul amanah yang dipertanggungjawabkan,” katanya.

“Penyusunan semula ajli lembaga yang mengambil kira latar belakang dan kepakaran berkaitan sektor perladangan mesti diambil kira.”

“Kemasukan tiga wakil dari Felda dan rombakan pengurusan FGV amat penting demi masa depan FGV dan memulihkan keyakinan pelabur serta masyarakat Felda itu sendiri,” katanya.

Azhar semalam berkata komposisi Lembaga Pengarah akan dipertingkatkan dengan pelantikan pakar berkaitan dan syarikat itu akan membuat pengumuman dalam masa terdekat.

Dalam kenyataan hari ini, ANAK berkata mereka bimbang susulan terdapat campur tangan luar dan orang politik yang mengambil kesempatan untuk habuan peribadi.

“Ini yang acapkali terjadi dan tidak mampu di elak.

“Kepentingan 37 peratus saham Felda, Felda Asset Holding Company dan Koperasi Permodalan Felda dalam FGV adalah sangat besar.

“Moga perkembangan terbaru ini membawa harapan bermakna buat warga Felda,” kata Mazlan yang juga pemimpin kanan Parti Amanah Negara (AMANAH).-Malaysiakini

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.