Saintis Jepun Hasil Ubat Dalam Telur Ayam

TOKYO – Penyelidik Jepun mengubah suai ayam betina menggunakan kejuruteraan genetik untuk mengeluarkan telur mengandungi ubat yang dapat melawan pelbagai penyakit serius seperti kanser dalam usaha mengurangkan kos rawatan, kata satu laporan semalam.

Sekiranya pasukan saintis itu berjaya menghasilkan ‘beta interferon’, sejenis protein yang digunakan untuk merawat penyakit seperti sklerosis berbilang dan hepatitis dengan menternak ayam, harga ubat itu dapat diturunkan dengan banyak, lapor akhbar tempatan, Yomiuri Shimbun.

Harga semasa beta interferon mencecah 100,000 yen (RM3,756) untuk beberapa mikrogram, lapor Kosmo.

Pasukan penyelidik Institut Kebangsaan Sains dan Teknologi Industri Lanjutan (AIST) di Kansai memulakan proses memperkenalkan gen pengeluar beta interfron ke dalam sel yang membiak menjadi sperma ayam, lapor akhbar tersebut.

Mereka kemudian menggunakan sel itu untuk mensenyawakan telur dan menghasilkan ayam yang mewarisi gen tersebut.

Ayam betina itu pula akan mengeluarkan telur mengandungi beta interferon yang berupaya melawan penyakit.

Pasukan saintis tersebut merancang untuk menjual ubat itu kepada syarikat-syarikat farmaseutikal pada kadar separuh harga semasa.

Namun, pengguna perlu menunggu untuk suatu tempoh yang agak lama sehingga beberapa tahun kerana Jepun mempunyai peraturan ketat melibatkan penggunaan produk farmaseutikal baharu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.