Populariti BN Di FB Naik Sekali Ganda Berbanding Parti Pembangkang – Politweet

KUALA LUMPUR – Kajian oleh firma penyelidikan media sosial, Politweet pada Julai lalu mendapati populariti BN di Facebook meningkat hampir sekali ganda berbanding pembangkang.

Memetik MalayMail yang melaporkan kajian tersebut, secara umum seramai 5.8 juta pengguna FB di negara ini yang berusia 21 tahun ke atas didapati lebih cenderung kepada BN berbanding 3.1 juta pengguna FB yang menyokong parti-parti pembangkang.

Dapatan kajian itu juga merumuskan secara spesifik seramai 3.3 juta atau 51.6 peratus daripada 6.4 juta pengguna FB berminat secara langsung menyokong BN.

Sementara kira-kira 600,000 atau 9.4 peratus pengguna FB dikenal pasti sebagai penyokong tegar parti pembangkang.

Dari jumlah 2.5 juta lagi pengguna FB yang mewakili 39.1 peratus dari jumlah 6.4 juta itu, menyatakan sokongan bercampur-campur antara BN dan pembangkang.

Kajian Politweet juga mendapati UMNO, komponen terbesar dalam BN merekodkan sokongan tertinggi iaitu 4.4 juta pengguna FB (68.8 peratus) dari jumlah tersebut.

Manakala PKR mengekori dari belakang dengan sokongan 1.8 juta (28.1 peratus) pengguna FB, diikuti DAP 1.3 juta (20.3 peratus) dan PAS merekodkan 950,000 (14 peratus) sokongan pengguna FB.

MCA selaku komponen kedua terbesar BN mencatatkan 740,000 sokongan pengguna FB (11.6 peratus), Parti Gerakan 150,000 (2.34 peratus) dan MIC disokong 81,000 pengguna FB (1.3 peratus).

56.3 peratus daripada jumlah 6.4 juta adalah lelaki dan selebihnya adalah perempuan. – SuaraTV

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.