‘Orang Asli Perlu Segera Henti Buka Kampung Baru’

Pembukaan kampung-kampung baharu yang kecil oleh masyarakat Orang Asli hanya akan merencatkan perancangan kerajaan dalam membangunkan infrastruktur di kawasan perkampungan kaum pribumi itu.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata masyarakat Orang Asli perlu menghentikan segera pembukaan kampung baharu bagi memastikan usaha kerajaan dalam menyediakan infrastruktur lengkap di semua 853 kampung Orang Asli di seluruh negara menjelang 2023, berjalan lancar.

“Sekarang kerajaan memberi fokus untuk membangunkan infrastruktur lengkap di 853 kampung asal Orang Asli dan lebih 80 peratus daripadanya telah mempunyai kemudahan elektrik, air dan jalan raya. Tetapi, kita dapat kesan lebih 100 ‘kampung serpihan’ baharu yang diwujudkan.

“Kalau mereka (Orang Asli) berterusan membuka kampung serpihan, masalah untuk membangunkan kampung ini tak akan selesai kerana kita perlu selesaikan pembangunan kampung serpihan dahulu. Adakalanya mereka buka kampung baharu di kawasan lebih jauh, melibatkan tanah-tanah persendirian dan ini akan melambatkan kerja-kerja pembangunan kampung asal yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kesyukuran Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah, Hulu Klang dekat sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Mohd Jamalludin Kasbi, Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) Tenaga Nasional Berhad Datuk Mohd Aminuddin Mohd Amin.

Pewartaan tanah tidak dipersetujui

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata hanya 31,000 hektar daripada 136,000 hektar tanah Orang Asli telah diwartakan sehingga kini berikutan tidak mendapat kerjasama daripada masyarakat itu.

“Sepatutnya kerja-kerja mengukur kawasan oleh Jakoa telah selesai…namun kita tersekat, kerana ada kalangan Orang Asli yang terpedaya dengan hasutan pembangkang supaya tidak membenarkan tanah diukur selain meminta keluasan tanah untuk diwartakan diperbesarkan lagi dan kita juga mendapat tentangan daripada enam kampung Orang Asli.

“Ada enam buah kampung yang tidak setuju pewartaan tanah dan saya minta supaya enam kampung ini diketepikan dahulu daripada pewartaan dan kita teruskan pewartaan di kampung lain,” katanya.

Pada majlis itu, Ismail Sabri berkata kerajaan turut membelanjakan lebih RM1.7 juta bagi melaksanakan kerja-kerja membina pencawang dan pemasangan kabel elektrik sejauh 32 kilometer serta membekalkan elektrik di 20 rumah di kampung berkenaan yang dihuni lebih 120 penduduk daripada 26 keluarga.

Projek di kampung itu telah dimulakan sejak 2012 namun tergendala berikutan masalah pengambilan tanah dan beberapa isu melibatkan Jabatan Hutan.

Bagaimanapun projek tersebut diteruskan semula awal tahun lepas dan siap sepenuhnya Februari 2017.

Sementara itu, Tok Batin kampung itu Ebak Pulasan, 75, berkata penantian hampir 15 tahun Orang Asli suku kaum Temuan tersebut yang tinggal dalam kegelapan berakhir selepas mendapat kemudahan elektrik awal tahun lepas.

“Saya seronok sangat-sangat…dari dahulu kami hanya guna lilin dan pelita waktu malam. Sekarang malam dah cerah dan kami tak bergelap lagi.

“Bila ada lampu, senang cucu-cucu dan anak orang kampung lain nak belajar…saya sangat berterima kasih kepada kerajaan,” katanya yang juga merupakan penduduk tertua di kampung itu.-Bernama

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.