Jalaluddin Temui Calon Isteri Di Facebook

Pelakon Datuk Jalaluddin Hassan, 63, mengakui sedang mengenali seorang wanita dan berhasrat untuk mengahwininya selepas setahun pemergian isteri, Datin Hasimah Mat Ehsan.

Kata Jalaluddin dia mengenali wanita itu menerusi Facebook beberapa bulan lalu untuk mengucapkan Selamat Berpuasa pada bulan Ramadan kemudian bertemunya ketika sambutan rumah terbuka Aidilfitri.

“Life must go on! Apabila hilang arwah isteri saya rasa hidup saya tiada erti dan pintu hati pun sudah tertutup.

“Tetapi apabila apabila pertama kali bertemunya, hati saya rasa dialah individu yang paling tepat.

“Ya, saya sedang mengenali seseorang dan berhasrat untuk memperisterikannya.

“Tarikh masih belum diputuskan lagi, mungkin tahun ini mungkin tahun depan,” katanya, lapor Gempak.

Wanita yang berstatus ibu tunggal itu didedahkan Jalaluddin dengan pangkal nama YR.

Selain itu, wanita berusia 44 tahun itu dipercayai berasal dari Serkam, Melaka dan mempunyai empat anak hasil perkahwinan sebelum ini.

Sementara itu kata Jalaluddin, bapanya, Tan Sri Hassan Azhari juga sering menasihatinya untuk berkahwin kerana kasihankan dirinya.

“Ayah saya betul-betul mahukan saya berkahwin secepat mungkin tetapi saya masih belum bersedia.

“Anak-anak juga tidak menghalang untuk saya berkahwin semula kerana sedar saya perlukan seorang isteri pada masa ini terutama untuk menjaga kebajikan saya.

“Apa pun, saya memerlukan sedikit ruang sebelum membuat keputusan,” katanya.

Pengacara Who Wants To Be A Millionaire itu kehilangan isterinya Datin Hasimah Mat Ehsan November tahun lalu akibat komplikasi pembedahan jantung di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.

Minggu lalu, Jalaluddin dimasukkan ke hospital akibat masalah vertigo yang menyebabkannya mengalami masalah keseimbangan badan.

Walaupun dibenarkan keluar hospital untuk berehat pada Rabu lalu, Jalaluddin tetap memberi komitmen pada teater Bahara Emas terbitan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bakal dipentaskan pada 19 hingga 22 Oktober ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.