Dr Mahathir Tak Kisah Dimarahi Kerana Enggan Bantah Pesta Arak

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kisah sekiranya orang ramai memarahinya kerana tidak menyokong bantahan terhadap pesta arak, malah bekas perdana menteri itu tidak kisah jika bukan Islam mahu mabuk sehingga pengsan sekali pun.

Dr Mahathir berkata, penganjuran pesta itu tidak menjadi masalah bagi orang ramai bukan Islam yang dibenarkan untuk meminumnya selagi mereka tidak mabuk semasa memandu sehingga mendatangkan mudarat kepada orang lain.

“Saya diberitahu ramai yang marah saya kerana tidak menyatakan sokongan saya terhadap bantahan perayaan beer (beer festival – Oktober Fest) oleh orang bukan Islam.

“Bagi saya kalau orang bukan Islam yang tidak haramkan minum alkohol atau beer hendak minum beer sampai pengsan, itu masalah mereka. Yang penting mereka jangan timbul masalah kepada orang lain, atau memandu kereta di waktu mabuk,” kata beliau dalam tulisan terbaharu di blognya.

Bagi Dr Mahathir, beliau lebih menyedihkan apabila ramai anak muda yang beragama Islam terjebak dalam gejala dadah sehingga sanggup melakukan tindakan luar batasan dan menyebabkan kes kebakaran bulan lalu.

“Yang saya amat dukacita ialah penyalahgunaan dadah oleh anak orang Islam sehingga menyebabkan kematian 23 murid sekolah tahfiz apabila mereka membakar asrama sekolah.

“Seolah-olah orang Islam menerima pembunuhan murid ini sebagai perkara biasa. Ya. Memang ada mereka yang berpendapat ini semua takdir. Oleh itu terima sahajalah. Seperti yang telah dinyatakan oleh guru tahfiz, anak yang mati setelah ke sekolah tahfiz akan menunggu ayah dan emak di pintu syurga kelak,” ujarnya.

Jelas beliau lagi, penagihan dadah disebabkan kurang kawalan anak oleh ibu bapa di zaman ini.

Dr Mahathir berkata, tanggungjawab menyemai sikap menolak dadah sepatutnya diletak di bahu guru agama dalam sekolah.

“Ini adalah pendapat saya. Jika nak kecam dan nak marah saya kerana tidak memecah botol beer di hadapan pejabat MB, marahlah,” katanya lagi.

Tegas beliau lagi, usaha memastikan orang Islam tidak minum arak dan mengambil dadah adalah lebih baik daripda bertindak memecahkan botol arah seperti dilakukan oleh Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos.

“Tentukan kita jangan minum beer dan kita tak makan dadah. Itu lebih baik dari pecah botol beer,” katanya. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.