Pemuda PAS Desak Wan Azizah Sokong Pindaan RUU 355

PULAU PINANG – Dewan Pemuda Pas Permatang Pauh menggesa Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menyokong pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) demi kepentingan umat Islam di negara ini.

 

Ketuanya, Ahmad Rafaei Abdul Rashid berkata, setakat ini, Wan Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh tidak menunjukkan kesungguhan untuk menyokong pindaan berkenaan.

 

Menurut beliau, dalam pertemuan semalam ketika pihaknya menyerahkan memorandum bagi meminta beliau menyokong perkara itu, Wan Azizah memberikan jawapan tidak meyakinkan.

 

Jelasnya, Wan Azizah memberi alasan usul pindaan berkenaan mempunyai banyak kelompongan dan mendakwa bukan hukum hudud.

 

“Namun, sebagai mewakili hasrat penduduk, kami tetap menaruh harapan supaya beliau melakukan pertimbangan sebaiknya dan pindaan berkenaan dapat dilakukan.

 

“Ini juga bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan sokongan penuh kepada inisiatif mendaulatkan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

 

PKR sebelum ini berdolak-dalik tentang pendirian parti itu selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul mengenai perkara tersebut di Parlimen pada Mei lalu, selain dibantah keras oleh DAP dan PAN.

 

Mengulas lanjut, Ahmad Rafaei berkata, hasrat melihat perkara berkenaan menjadi kenyataan kini terpikul di bahu ahli Parlimen kerana Dewan Rakyat akan kembali bersidang pada 17 Oktober ini.

 

Katanya, menjadi impian umat Islam di negara ini supaya perundangan Syariah dapat didaulatkan dalam menyelesaikan isu-isu yang semakin meruncing melibatkan umat Islam ketika ini. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.