PAS Sombong Punca Sukar Bincang Satu Lawan Satu, Kata Pemimpin Amanah

PETALING JAYA – Hasrat pembangkang meletakkan calon menentang Barisan Nasional (BN) dalam pertandingan satu lawan satu pada pilihan raya akan datang tidak akan menjadi kenyataan selagi PAS tidak melihat BN sebagai musuh utama, kata Amanah.

 

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad berkata PAS tidak mementingkan lagi soal satu lawan satu lagi kerana ia tidak ada masalah sekiranya BN terus membentuk kerajaan.

 

“Walaupun Amanah tiada halangan untuk terus berbincang dengan PAS tetapi kita lihat PAS tiada hal jika BN terus memerintah,” katanya kepada FMT.

 

Khalid mengulas kenyataan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang menyifatkan cadangan satu lawan satu pembangkang hanya omong kosong.

 

Liow berkata pembangkang tidak akan mencapai kata sepakat kerana mereka bercanggah pendapat dan kepentingan sesama sendiri.

 

Khalid turut meminta MCA mendedahkan kepada umum sekiranya mereka mendapat jaminan daripada PAS akan wujudnya 3 penjuru dalam PRU akan datang.

 

“Kalau MCA sudah dapat jaminan daripada PAS, harap dedahkan. Iaitu jaminan bahawa PAS akan bertanding 3 penjuru,” katanya.

 

Sementara itu, Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata sikap PAS yang dilihat sombong dan angkuh dalam menjalinkan perbincangan satu lawan satu antara faktor yang menyukarkan persefahaman dalam pembangkang.

 

“Walaupun berkali-kali menafikan tidak akan bekerjasama dengan Umno tetapi kecenderungan mereka masa ini sudah gambarkan mereka pro-Umno.

 

“Amat mengejutkan, mereka ambil pendekatan sedemikian. Walaupun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) turut mengajak (berbincang), namun mereka masih tolak. Ini seperti memberi pertolongan cemas kepada Umno yang sedang nazak,” katanya.

 

“Mereka akan pergi kepada Umno,” katanya.

 

Baru-baru ini Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan beliau sudah menemui Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi mendapatkan sokongan parti itu dalam memastikan pertandingan satu lawan satu menentang BN pada pilihan raya ke-14 yang perlu diadakan pada 2018. – Fmt

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.